‘Jangan ambil mudah cabaran England, Mesir‘

KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Skuad Malaysia tidak harus mengambil mudah kemampuan pasukan England dan Mesir untuk melepasi peringkat kumpulan pada saingan Piala Sudirman 2021 yang berlangsung di Vantaa, Finland, bermula Ahad ini hingga 3 Oktober ini.

Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei menegaskan kedua-dua negara tersebut khususnya England boleh melakukan kejutan seandainya pasukan negara memandang ringan kemampuan lawannya itu pada saingan kejohanan berpasukan campuran itu. 

“Kita sedia maklum Jepun adalah pilihan utama dalam Kumpulan D, maka ia pertemuan sukar untuk skuad negara.

“Jangan ambil mudah cabaran England dan Mesir tetapi apa yang penting…semua pemain tidak harus hilang tumpuan sepanjang kejohanan itu dalam usaha melangkah jauh di Finland nanti,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada edisi dua tahun lalu di Nanning, China, Malaysia tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan Jepun 0-3. Jepun muncul naib juara selepas tewas 0-3 kepada China pada final.  Sementara itu, Chong Wei yang mengetuai cabaran negara mencapai keputusan terbaik dengan kedudukan tempat ketiga pada edisi 2009, menyifatkan sasaran layak ke suku akhir yang diletakkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah realistik.

“Saya percaya Malaysia mempunyai peluang besar untuk mara ke peringkat suku akhir,” katanya. – Bernama