Oleh Nurdiyanah R.
Mungkin ramai di antara kita yang masih tidak sedar mengenai kepentingan kesihatan mental dalam meniti liku-liku kehidupan yang bagaikan bahtera di lautan yang penuh dengan onak duri ini.
Masalah kesihatan mental ini bukan hanya merujuk kepada akal tidak sihat, namun hakikatnya apabila berlakunya tekanan, keresahan, insomnia dan kemurungan itu juga merupakan antara tanda-tanda masalah kesihatan mental yang boleh memudaratkan diri seseorang.
Isu kesihatan mental kini semakin meningkat dan membimbangkan sebagaimana yang dinyatakan dalam laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana jumlah individu yang menderita akibat gangguan kesihatan mental ini semakin berleluasa di seluruh dunia.
Hal ini jelas berlaku dari tahun ke setahun, lambakan berita pembunuhan, kes bunuh diri dan peristiwa tragis membabitkan isu kesihatan mental kian menjadi suatu perkara yang membimbangkan kini bukan sahaja di negara kita, bahkan juga di seluruh dunia.
Ketahui tanda masalah kesihatan mental
Penyakit mental, juga dikenali sebagai kecelaruan mental, boleh menjejaskan sesiapa sahaja. di mana keadaan kesihatan yang melibatkan perubahan dalam pemikiran, emosi atau tingkah laku (atau mana-mana gabungan semua ini) yang sering menyebabkan kesukaran untuk menampung tekanan biasa dan rutin kehidupan. Gejala ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu ada yang agak ringan dan hanya menyebabkan kecelaruan yang terhad terhadap kehidupan seharian. Malah ada juga kondisi kesihatan mental lain yang sangat parah sehingga seseorang mungkin memerlukan rawatan hospital dan rawatan perubatan.



Adapun penyakit mental itu secara umumnya adalah kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan skizofrenia yang mana ia boleh memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada seseorang individu, bahkan juga ahli keluarga, rakan sekerja dan juga masyarakat amnya.
Gangguan perasaan atau emosi seperti kadangkala merasa sedih, susah hati atau tidak gembira merupakan antara tanda-tanda masalah kesihatan mental yang dikenali sebagai kemurungan (depressive disorder) yang mana jika gangguan perasaan itu berlaku secara berpanjangan maka ia akhirnya boleh menjadi satu penyakit sehingga boleh menjejaskan pekerjaan, rumahtangga dan kesihatan seseorang individu.
Manakala keresahan atau lebih dikenali sebagai ‘uri’ dalam kalangan masyarakat Brunei adalah satu kondisi psikologi di mana seseorang itu mengalami perasaan takut, bimbang, gemuruh dan khuatir. Keresahan dikategorikan dengan perasaan cemas dan boleh disertai oleh gejala-gejala fizikal seperti peningkatan tekanan darah dan mual.
Gangguan bipolar (manic-depressive illness) pula adalah kecelaruan psikiatri yang boleh menyebabkan perubahan yang luar biasa seseorang individu terhadap peningkatan mood, tenaga, aktiviti serta keupayaan untuk menjalankan tugas harian. Orang yang mengalami kecelaruan bipolar mengalami episod turun naik mood yang dramatik tanpa corak yang tetap.
Skizofrenia adalah satu lagi kecelaruan psikiatri yang boleh mempengaruhi fikiran, perasaan dan kelakuan seseorang. Penyakit yang berada pada tahap teruk atau kronik mungkin mengalami gejala-gejala yang menjejaskan kehidupan. Seseorang dengan skizofrenia sering kelihatan seolah-olah mereka telah kehilangan sentuhan dengan realiti.
Secara keseluruhannya, masalah kesihatan mental berkenaan adalah berpunca dari tidak berkeyakinan diri, bebanan kerja yang berat, masalah hubungan kekeluargaan atau pasangan atau rakan, dan juga masalah kewangan atau kesihatan.
Oleh itu antara langkah untuk menjauhi masalah-masalah ini berlaku pada diri dalam keadaan sedar atau tidak, kita sebagai hamba yang kerdil di muka bumi ini perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan melakukan aktiviti riadah atau senaman, permakanan yang sihat dan seimbang, sentiasa berfikiran positif, mendapat tidur yang mencukupi iaitu tujuh ke lapan jam sehari dan sentiasa mendapat bantuan profesional dari pakar psikologi atau kaunselor apabila mengalami gejala-gejala berkenaan.
Singkir stigma, jauhi diskriminasi
Perlu diketahui bersama, bukan sekadar penyakit mental semata-mata, tetapi stigma sesetengah masyarakat terhadap penyakit itu sebenarnya memberi kesan lebih mendalam kepada golongan pesakit dan akhirnya boleh membawa kepada tindakan membunuh diri serta pelbagai implikasi kesihatan lain.
Sesetengah orang apabila mendengar seseorang individu itu menemui ahli pakar psikiatri yang menyarankannya mengambil ubat tertentu, diharap janganlah beranggapan seseorang itu sebagai sudah kurang waras.
Hal ini akhirnya menyebabkan gurisan luka di hati dan jiwa pesakit semakin membara dan menderita dalam diam sehingga menjadikan mereka takut untuk berkongsi keadaan dengan sesiapa mahupun menerima rawatan. Perkara inilah menjadi salah satu faktor sebahagian kes berkaitan kesihatan mental tidak diagnosis.
Realitinya, seiring peredaran zaman dan teknologi, penyakit itu meningkat pada kadar membimbangkan pada peringkat global. Isu dianggap ‘taboo’ ini menular tanpa sedar dalam kalangan masyarakat kerana adanya tekanan kehidupan sekeliling yang bagaikan duri di depan mata. Baik tekanan keluarga, di tempat kerja, akademik dan ditambah lagi dengan faktor masyarakat di sekitar.
Bersatu kita ‘Awasi, Dengar dan Bantu’
Meskipun cabaran demi cabaran sering menghantui kehidupan kita, namun yakinlah dengan diri, berdoalah kepada Allah SWT, kuatkan keazaman dan cita-cita demi mewujudkan suasana persekitaran yang selamat, kondusif dan produktif. Kita mestilah sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ujian yang mendatang.
Semua ujian dari Allah SWT pasti ada hikmah di sebaliknya. Bayangkan, jika kita mengalihkan pandangan ke arah laut yang memiliki kecantikan air yang membiru dan penuh ketenangan, akan tetapi apa yang terpendam di dalam lautan tersebut tidak siapa yang boleh mengetahuinya, hanya Pencipta yang Maha Kuasa sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, suasana riang dan sedih yang dialami, namun hakikatnya hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahui rahsia sesebuah kehidupan.
Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu dalam mengawasi ahli keluarga dan orang-orang di sekeliling kita dengan sentiasa mengawasi perilaku dan keolahan mereka dari semasa ke semasa demi mewujudkan masyarakat yang sentiasa memiliki kesihatan mental dan juga fizikal yang baik. Jadilah insan yang prihatin dengan mengawasi, mendengar dan membantu.
Ingatlah, tanggungjawab untuk mencegah penyakit mental bukan hanya terletak kepada badan atau perkhidmatan kesihatan mental semata-mata tetapi juga pihak lain termasuk institusi pendidikan, badan profesional serta masyarakat keseluruhannya. Hal ini adalah amat penting dititikberatkan oleh semua pihak kerana rakyat dan penduduk merupakan sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif untuk negara. Dengan kata lain, rakyat dan penduduk yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama Islam dan adanya nilai keBruneian yang tinggi ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi Kementerian Kesihatan ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.