Jangan beli tembaga tidak diketahui asal usul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Syarikat pembeli besi-besi buruk dan terpakai ditekankan untuk tidak berurus niaga secara sembarangan dengan individu-individu yang mencurigakan, terutama sekali pembelian barangan besi atau tembaga yang tidak pasti
asalnya kerana ianya berkemungkinan diperolehi daripada kegiatan jenayah seperti curi.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) membuat penekanan berkenaan berikutan tangkapan dua individu warga asing dalam kejadian curi kabel telekomunikasi kepunyaan Syarikat UNN yang berlaku beberapa hari laIu di Daerah Temburong.

Di samping itu, PPDB juga telah mendapati bahawa segelintir pengusaha besi-besi terpakai di negara ini dipercayai ada terlibat dalam menjalankan kegiatan menerima atau menyimpan barangan hasil daripada kegiatan-kegiatan pecah rumah, rosak barang dan curi wayar kabel.

Oleh yang demikian, PPDB dalam kenyataan yang dikeluarkan menegaskan kepada orang ramai serta para pengusaha besi buruk atau terpakai bahawa menjadi satu kesalahan di dalam peruntukan di bawah Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu barang siapa secara tidak jujur menerima atau menyimpan apa-apa harta curi, dengan mengetahui atau dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi, hendaklah dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dari itu, para pengusaha atau pengeksport besi terpakai disarankan untuk sentiasa mematuhi pensyaratan yang telah diberikan bagi mendapatkan permit pengeksportan untuk mengelak tindakan undang-undang dijalankan ke atas mereka.

Himpunan kabel dalam guni yang dipercayai dicuri daripada syarikat telekomunikasi. – Gambar serahan PPDB