Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    ‘Jangan biar bahasa Melayu hilang keluhurannya’

    Oleh Nuridyanah R.

    Seiring dengan kepesatan teknologi maklumat dan penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global, bahasa Melayu menghadapi pelbagai cabaran yang sengit dalam abad ke-21 ini.

    Walaupun mempelajari bahasa lain menjadi satu kemestian bagi seorang individu sebagai suatu kelebihan diri namun, pada masa yang sama janganlah bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu dipinggirkan kerana siapa lagi yang perlu mempertahankannya kalau bukan diri kita sendiri, sebagai anak watan kelahiran bumi Negara Brunei Darussalam.

    Oleh yang demikian, bahasa Melayu tidak boleh sama sekali diasingkan daripada identiti seharian dan inilah amanah yang perlu ditunaikan sebagai rakyat dan penduduk di negara ini dalam sama-sama berperanan untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

    DBP Brunei terus menanai amanah

    Dengan termaktubnya Perlembagaan Negeri Brunei 1959, ‘Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara’, pelbagai usaha telah pun dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke arah usaha berterusan untuk memperkukuh dan memperkasa bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam.

    Meskipun DBP sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menanai dan ‘menyahan’ amanah bagi memastikan bahasa Melayu itu terus dimartabatkan, perlu ditekankan juga usaha tanggungjawab senegara perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa tanpa menyerahkan sepenuhnya kepada DBP.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa permesyuaratan MMN, baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Papan tanda di sekitar Pekan Tutong memberigakan kepada orang awam agar sama-sama menjaga kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
    Antara aktiviti yang diketengahkan semasa berlangsungnya Program Dudun DBP bagi Daerah Brunei dan Muara sekitar Januari lalu.

    Antara buku terbitan yang diketengahkan oleh DBP dengan hasrat memperkasakan lagi bahasa Melayu untuk generasi masa kini.

    Salah satu usaha yang dilaksanakan oleh DBP adalah menanamkan sikap positif untuk memelihara, memperkasa dan mendaulatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Emas DBP pada tahun 2011, maka sambutan Bulan Bahasa telah disambut pada setiap Julai.

    Sambutan Bulan Bahasa ini adalah wadah bagi penyegaran semula tentang kepentingan bahasa Melayu. Penglibatan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta melalui pendekatan senegara telah menggema dan menyemaraakkan sambutan Bulan Bahasa selain pemasyarakatan bahasa Melayu melalui penglibatan orang ramai dalam aktiviti kebahasaan.

    Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, baru-baru ini, sebagai mengulas pertanyaan yang disuarakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan berhubung perancangan pihak kementerian melalui DBP di dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di peringkat nasional.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi antaranya menjelaskan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa berstatus tinggi, bahasa komunikasi dan bahasa pengungkap ilmu turut menjadi salah satu usaha yang ditanai oleh DBP.

    Usaha ini dianggap signifikan kerana status quo bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi dan bahasa ilmu. DBP menggunakan pelbagai platform seperti forum, seminar, kongres, festival, bengkel sayembara, pertandingan dan peraduan sebagai medan penyebaran ilmu dalam mendaya-upayakan pengembangan bahasa Melayu di negara ini dengan jumlah peserta mencecah lebih 6,500 orang untuk Tahun Kewangan 2022 / 2023.

    Oleh itu, bengkel bahasa Melayu di kementerian, jabatan dan sektor swasta merupakan inisiatif DBP sebagai usaha ke arah penyegaran bahasa Melayu agar menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam komunikasi seharian, baik secara tulisan mahupun lisan.

    “Data telah menunjukkan bahawa sejak empat tahun kebelakangan ini, Bengkel Ejaan Rumi Bahasa Melayu daripada jabatan telah meningkat sebanyak 22 peratus kepada 11 jabatan setahun yang menyaksikan penyertaan terkumpul lebih 1,800 orang dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan,” kongsi Yang Berhormat Dato.

    Menyemai pendedahan awal

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menambah bahawa DBP tidak ketinggalan menjalankan tanggungjawab jabatan dalam memupuk dan menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu daripada peringkat kanak-kanak dan remaja melalui program-program tertentu.

    Salah satunya ialah Program Dudun DBP ke institusi-institusi pendidikan dan daerah-daerah. Setakat ini, DBP sudah melancarkan program berkenaan di 25 buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Temburong.

    Begitu juga Peraduan Mari Bercerita di mana lebih 300 orang peserta telah mengikuti peraduan ini sama ada secara solo mahupun berkumpulan; dan Program Literasi Awal yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014 menyaksikan jumlah penerima pek literasi awal sudah menjangkau 1,800 orang setakat ini.

    Selain itu, Program Penulis Muda juga merupakan salah satu program yang diungkayahkan oleh pihak DBP di mana seramai 199 orang peserta telah dibim-bing di bawah program tersebut.

    Lebih 1,400 terbitan perkasa bahasa Melayu

    Dalam pencerahannya, Yang Berhormat Dato, antaranya mengongsikan bahawa salah satu usaha yang giat dijalankan oleh DBP dari semasa ke semasa termasuk memperbanyakkan bahan penerbitan, penyelidikan dan pendokumentasian. DBP telah menerbitkan lebih 1,400 buku, kamus, jurnal dan majalah dalam usaha penyebaran bahasa Melayu.

    Buku-buku berbentuk mini atau yang bersaiz poket berkisar bahasa Melayu supaya mudah dirujuk dan dibawa ke mana-mana merupakan salah satu terbitan pihak jabatan yang sememangnya dapat dimanfaatkan oleh pelancong.

    Selain itu, buku-buku mengenai dialek tujuh puak seperti Daftar Leksikal Dialek dan buku-buku cerita yang ditulis sepenuhnya dalam dialek Dusun dan dialek-dialek lain turut menjadi bahan-bahan terbitan DBP Brunei.

    Pelaksanaan projek e-Kamus

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato turut menyatakan DBP telah mengungkayahkan projek e-Kamus yang menyediakan akses kepada pengguna untuk mendapatkan informasi bahasa Melayu Brunei dalam talian.

    “Insya Allah, e-Kamus dan Kalinga Bahasa juga merupakan satu medium dalam usaha DBP untuk menyebarluaskan dan melestarikan bahasa Melayu dalam bentuk digital,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, DBP terus berusaha dalam memelihara, melestari dan memperkayakan khazanah bangsa menerusi pelbagai hasil penyelidikan seperti penggunaan bahasa Melayu, Pantun Melayu Brunei, Lagu Kanak-kanak Tradisi Brunei dan Pendidikan Kalimah Bahasa Tua. Selain menjalin kolaborasi dengan rakan-rakan strategik yang berkepentingan di luar negara bagi menyebarluaskan perkembangan bahasa Melayu kepada masyarakat umum dan pengantarabangsaan bahasa Melayu melalui MABIM dan MASTERA.

    Bahasa Melayu itu jangan hilang ketuanannya

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menekankan luahan tentang isu yang semakin berleluasa hingga ke satu tahap ia dilihat sebagai satu yang normal dan lazim, iaitu penggunaan bahasa rojak atau percampuran kod yang lebih banyak menjurus kepada bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

    “Kaola melihat ia sebagai satu kepincangan dan fenomena yang menyedihkan apalagi pemberigaan sesuatu inisiatif itu lebih banyak dicemari dengan penggunaan bahasa asing daripada bahasa Melayu itu sendiri.

    “Jika membenarkan hal tersebut berlaku, maka ini bermakna kita juga mengakui bahawa bahasa Melayu itu telah hilang ketuanan dan keluhurannya. Oleh yang demikian, mari kita semua sama-sama mendukung usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kalau tidak kitani siapalah lagi,” tegas Yang Berhormat Dato.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...