Jangan biar rasuah racuni kerajaan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Pengurusan dan pentadbiran kerajaan perlu terus diawasi agar gejala rasuah tidak meracuninya manakala penguatkuasaan akta dan peraturan adalah penting bagi pengawalan kedatangan pekerja asing tanpa majikan yang semakin berleluasa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika bertitah semasa mengadakan lawatan tidak berjadual ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh di Jalan Menteri Besar hari ini.

Baginda bertitah “Jika semua ini berlaku, maka ia sudah cukup untuk melemahkan pengurusan dan pentadbiran tersebut.

“Oleh itu, mesti diawasi semua ini, lebih-lebih lagi gejala rasuah, jangan dibiarkan ia meracuni pengurusan dan pentadbiran kerajaan.”

Baginda turut menimbulkan persoalan mengenai isu-isu penambahan kuota pekerja-pekerja asing, penyambungan kontrak, penggunaan kuota bebas dengan pembayaran sejumlah wang kepada pemilik kuota serta sindiket lesen syarikat-syarikat palsu.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat bagi mengadakan lawatan ke Jabatan Buruh, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

Baginda menekankan bahawa kawalan dan aturan itu dibuat supaya kepentingan negara tetap terpelihara, keselamatan terjamin, sosioekonomi berkembang dengan baik sehingga memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat negara ini menjadi pusat perdagangan dan pelancongan serta Service Hub for Trade and Tourism.

“Jabatan ini berkewajiban untuk mengawal dan melaksanakan penguatkuasaan beberapa akta di antaranya Akta dan Peraturan Imigresen, Penggal 17; Akta dan Peraturan Pasport-pasport, Penggal 146; Akta dan Peraturan Pendaftaran Taraf Kebangsaan, Penggal 15, Perintah Penyeludupan dan Perdagangan Manusia Tahun 2004 dan lain-lain.”

Baginda bertitah, “Apabila bercakap mengenai penguatkuasaan, maka yang sering di persoalkan ialah keberkesanannya. Sebagai contoh, penguatkuasaan kawalan bagi pekerja-pekerja asing, di mana pada masa ini berlakunya kehadiran para pekerja asing tanpa majikan, dalam makna, tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat berdaftar di negara ini.

“Perkara ini dilihat semakin berleluasa, menunjukkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak JIPK adalah lemah, tidak berkesan, seolah-olah dengan mudah sahaja warga asing itu membuat atau memulakan perniagaan tanpa perlu kepada local partner, malah mereka juga sudah berani membawa ahli keluarga atau saudara-mara datang ke negara ini bagi tujuan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Beta di sini mahu bertanya, di manakah cemburunya kita dalam mengawal negara dan di mana juga tanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan akta atau peraturan? Apakah susah benar untuk melaksanakannya dengan nisbah Brunei yang kecil ini, rasa-rasanya bukan kerana susah tetapi kerana lemah, lemah pengurusan dan pentadbiran.”

Baginda menegaskan bahawa kelemahan itu berlaku dan dalam bahagian-bahagian seperti Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Pas Pekerja Asing, Bahagian Pas Lawatan, Bahagian Kad Pengenalan, Bahagian Pos Kawalan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa, Bahagian Pos-pos Kawalan Sempadan Darat dan lain-lain.

Baginda menegaskan, “Misalnya, Bahagian Pas Lawatan, bahagian ini masih dilihat tidak dapat mengawal para penjamin daripada kalangan ejen pekerjaan atau perseorangan. Mereka ini mengenakan bayaran pada warga asing yang dijamin secara tidak atau kurang terkawal.”

Baginda turut menyentuh mengenai Bahagian Pos Kawalan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa yang didapati lemah dari segi kawalan terutama yang melibatkan warga asing yang berada di ruang berlepas.

“Pernah berlaku seorang penumpang warga asing yang masuk ke negara ini untuk transit tetapi didapati lepas keluar daripada ruang berlepas tanpa dikenakan sebarang sekatan atau memang kejadian itu tidak diketahui oleh mana-mana agensi bertugas di lapangan terbang antarabangsa termasuk Jabatan Imigresen sendiri. Perkara ini hanya disedari apabila penumpang tersebut pergi ke kaunter RB untuk check-in.

“Penyiasatan kemudian mendapati bahawa penumpang itu lolos keluar kerana petugas tidak bertindak menghalangnya. Mengapa tidak menghalangnya? Tidakkah ini juga menunjuk kelemahan dan kecuaian petugas?”

Baginda turut bertitah bahawa Bahagian Pos-pos Kawalan Sempadan Darat pula tidak terkecuali memerlukan pemantauan berkesan kerana di sini juga mungkin berlaku perkara yang tidak patut berlaku seperti petugas di dalam waktu bertugas terlalai dalam pondok bertugas dan juga berlaku ialah kejadian membuka hanya sebuah kaunter yang menyebabkan kenderaan berderet-deret menunggu giliran, walhal ada petugas lain tapi tidak mahu membuka kaunter. Manakala ketika menyentuh mengenai Jabatan Buruh, Baginda menekankan mengenai kawalan pemantauan dan pengambilan pekerja asing yang pada masa ini menjadi kebimbangan ramai apabila makin banyak pekerja asing di negara ini berbanding langkah menjaga kemaslahatan tenaga kerja tempatan di sektor swasta.

“Pihak penguat kuasa Jabatan Buruh dilihat kurang ketat mengawal malah mudah dipengaruhi oleh ejen-ejen pengambilan pekerja asing untuk menambah kuota pekerja asing dan mempercepatkan penyambungan kontrak-kontrak mereka. Demikian juga kedengaran mengenai penggunaan kuota bebas bagi membolehkan pekerja asing bekerja di negara ini dengan membayar sejumlah wang kepada pemilik kuota.

“Pemilik kuota bebas itu boleh saja terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk yang disegani, VIP. Beta ingin tahu, adakah sudah dikaji dan ditangani isu ini atau ia dibiarkan begitu sahaja sehingga berleluasa? Pihak Jabatan Buruh diminta menjelaskannya nanti.”

Baginda turut membangkitkan mengenai isu peniaga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing yang berniaga di negara ini di mana warga asing itu akan dikenakan sejumlah bayaran pada setiap bulan oleh pemilik lesen warga tempatan.

“Dengan lesen yang disewakan itu, peniaga warga asing tadi akan pula mengambil pula kesempatan untuk mendatangkan pekerja asing lain untuk bekerja dengan mereka. Natijahnya, para pekerja asing membanjiri Brunei tanpa dibendung dengan peniaga tempatan pula hanyalah akan menerima habuk perolehan berupa sewa lesen daripada peniaga asing.

“Di mana kita dengan slogan, Memperkasa Pengusaha dan Peniaga Anak-anak Tempatan? Kalau beginilah keadaan, tidak ada gunanya slogan tersebut. “Sekarang sudah jadi kenyataan di mana-mana saja pasar termasuk pasar ikan dan lebih-lebih lagi pasar sayur-sayuran dan buah-buahan semuanya itu seperti dimonopoli oleh warga asing. Jadi apa halnya dengan pengusaha dan peniaga warga tempatan? Maka perkara ini juga, Beta ingin supaya dijelaskan.”

Baginda seterusnya bertitah mengenai dengan kegiatan sindiket daripada kalangan warga asing yang bergerak mendatangkan para pekerja asing dengan menggunakan lesen syarikat-syarikat palsu.

“Syarikat-syarikat ini berdaftar di Jabatan Buruh dan mendapat kelulusan daripada pihak mahkamah, namun syarikat-syarikat itu sebenarnya dikatakan tidak wujud. Ia cuma wujud pada nama sahaja, sedang projek atau perusahaan tidak pernah ada.

“Dalam makna syarikat-syarikat ini, hanya digunakan untuk semata-mata menjamin warga asing supaya dapat tinggal di negara ini bagi suatu tempoh kontrak dengan kadar pembayaran tertentu.

“Bayaran bagi warganegara ASEAN sebanyak $2,500 dan bagi warganegara lain sebanyak $3,000. Sudahlah itu, me-reka ini juga bebas mencari kerja di tempat lain tanpa terikat dengan syarikat yang menjamin mereka. Mengenai isu ini, Beta ingin mengetahui adakah ia disedari oleh Jabatan Buruh? Jika ya, apakah langkah yang telah diambil mengenainya?” soal Baginda.