Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Jangan biarkan hasad dengki bersarang dalam hati

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebajikan, malah ia adalah penting dalam membina dan membentuk kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    “Justeru itu, akhlak yang mulia hendaklah diterapkan dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan,” tekan khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Jauhi Sifat Hasad Dengki’.

    Hasad dengki, katanya, adalah salah satu daripada penyakit rohani yang ada dalam diri seseorang insan, penyakit ini boleh membahayakan diri dan mendatangkan kesan buruk dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat atau bernegara.

    Ia juga boleh diertikan sebagai satu sikap tidak senang hati atas nikmat, kesenangan atau kelebihan yang ada pada orang lain.

    Selain itu, perasaan hasad dengki juga tidak pernah mengenal pertalian darah atau keluarga, tidak pernah mengenal sahabat dan rakan sekerja.

    “Ini kerana hubungan keluarga yang rapat boleh menjadi renggang, sahabat yang akrab boleh menjadi musuh, rakan sekerja menjadi tidak sehaluan dan semua ini disebabkan perasaan hasad dengki,” tekan khatib lagi.

    Menurutnya lagi, terdapat banyak sebab mengapa orang itu mempunyai perasaan tersebut, ini antaranya permusuhan, dendam, berasa khuatir tujuan atau hasrat tertentu tidak tercapai dan seumpamanya.

    Namun terdapat juga hadis Rasulullah SAW yang memberi pengecualian dalam sifat hasad dengki ini.

    “Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: Dengki terhadap seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

    Khatib seterusnya menjelaskan, untuk menjauhi dan menghindarkan diri daripada sifat hasad dengki adalah sangat susah dan berat untuk dilaksanakan.

    Sehubungan itu, orang-orang yang berjaya menghindarkan sifat tersebut akan dimuliakan dan dikurniakan ganjaran oleh Allah SWT.

    Menurutnya lagi, Rasulullah SAW adalah contoh teladan dan ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia untuk menerapkan akhlak mulia dalam diri yang mana Allah SWT juga memuji akhlak dan kehebatan akhlak Baginda tiada tandingannya.

    “Sebagai umat Islam hendaklah mengikuti dan mencontohi akhlak dan sifat Baginda yang tidak pernah bersifat hasad dengki terhadap sesama insan lain,”

    Beliau turut mengongsikan sebuah hadis di mana terdapat satu kitab yang boleh dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran perihal seorang lelaki yang menjadi penghuni syurga kerana dalam dirinya tidak ada sekelumit sifat hasad dengki.

    “Hasad dengki adalah antara penyakit hati yang paling dahsyat dan sangat sukar diubati tapi terdapat cara untuk mencegah dan mengubatinya di mana ia perlu kepada beberapa cara dan pendekatan,” tegasnya.

    Ini dengan sentiasa mengawasi diri dan menyedari penyakit ini boleh merosakkan dan membinasakan diri sendiri selain sentiasa mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan Allah.

    “Jika kita melihat orang lain mem-peroleh nikmat atau kelebihan, hendaklah mengakui mereka memperolehnya dengan hasil usaha dan kurnia Allah selain hendaklah rajin bekerja, berikhtiar untuk mencari rezeki dan kurnia Allah,” jelasnya.

    Selain itu, janganlah sentiasa membandingkan diri dengan orang yang lebih tinggi keadaan atau tarafnya daripada kita dan sentiasalah berdoa memohon perlindungan Allah daripada sifat tersebut.

    Jika kita masih juga mempunyai sifat itu dalam diri, jelas khatib, kita hendaklah segera beristighfar dan bertaubat atau memohon ampun daripada Allah.

    “Ingatlah dan jauhilah diri daripada perasaan hasad dengki yang dilarang dalam agama dan jangan sampai ia bersarang dalam hati, kerana ia adalah antara sifat yang dibenci oleh Allah,” tegas khatib.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...