Jangan biarkan permainan warisan pupus

Oleh Nurdiyanah R.

Ketika zaman silih berganti dengan arus kemodenan, kebanyakan permainan tradisional Brunei sudah tidak dipratikkan lagi sama ada dalam kalangan kanak-kanak mahupun golongan dewasa.

Malah ada yang menganggapnya sudah tidak relevan lagi sejak terciptanya perbagai alat dan aplikasi hiburan yang lebih moden, seperti telefon pintar dan komputer yang menyebabkan permainan tradisional ini pupus ditelan zaman.

Hakikatnya, kebanyakan permainan tradisi negara kita lebih berbentuk rekreasi, hiburan dan sukan yang juga sememangnya mampu mewujudkan kecekapan, kesihatan, pembelajaran dan perkembangan minda seseorang pemain.

Ia adalah sebahagian permainan turun-temurun yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi yang mudah diperolehi. Dalam artikel ini penulis mengongsikan beberapa permainan tradisional yang terdapat di negara kita.

Lastik

Permainan lastik biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki sehingga dewasa yang mana ia diperbuat dari batang kayu, potongan getah (bekas kasut) dan gelang getah untuk pengikat. Manakala peluru lastik pula biasanya menggunakan anak batu, timah, buah simpur, buah gurah dan tanah liat yang sudah dikeringkan. Teknik memainkannya ialah dengan cara menarik getahnya dan kemudian dilepaskan pada sasarannya.

Kikik yang lazimnya ia dimainkan semasa musim berangin.
Lastik dimainkan dengan cara menarik getahnya dan dilepaskan pada sasarannya.
ATAS & BAWAH ; Lompat Gatah, Kereta Rajung, Kasut Terompak, Senapang Pek dan Tinting.

 

Kerita Rajung

Selain itu, Kerita Rajung pula menyerupai sejenis kereta yang diperbuat daripada papan dan lazimnya dimainkan oleh golongan remaja lelaki sahaja. Permainan ini dimainkan dengan cara menggelongsor dari atas bukit yang curam. Permainan ini dicipta setelah wujudnya kereta dalam kalangan masyarakat dahulu.

Kasut Terompak

Kasut Terompak yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang ditebuk lubang pada bahagian tengahnya untuk mengikat tali.

Tempurung kelapa tersebut akan dipakai seperti memakai selipar dan pemain akan memegang dan menarik tali tempurung yang diletakkan dicelah jari kaki semasa melangkah. Permainan ini boleh dimainkan secara perseorangan dan juga sebagai perlumbaan di mana pemain yang sampai ke garisan penamat lebih awal adalah dikira sebagai pemenang.

Saluk-salukan

Pada zaman dahulu permainan ini biasanya dimainkan sewaktu berlakunya kematian dalam sesebuah keluarga berbangsa Dusun. Dalam upacara perkabungan, pelita getah kayu yang dipanggil ‘salong’ akan dinyalakan berterusan selama 14 hari sebagai upacara hari makan arwah.

Semasa menjaga ‘salong’, penjaga pelita tersebut akan bermain Saluk-salukan untuk mengurangkan rasa me ngantuk. Selain itu, ia juga menguji minda seseorang pemain bagaimana untuk mengeluarkan tali dari permainan tersebut. Adapun bahan yang digunakan untuk permainan ini adalah rotan, kayu dan tali daripada kulit kayu.

Main Tinting

Lazimnya, permainan Tinting ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara berkumpulan di mana terdapat dua hingga empat orang di dalam sebuah gelanggang yang berupa petak-petak di atas tanah. Terdapat tujuh atau lapan petak di dalam sebuah gelanggang. Manakala potongan tempurung kelapa atau belahan kaca dijadikan buah sebagai penanda kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.

Bedil Buluh

Batang buluh, kayu penunu (pencucuh) dan bahan peledak iaitu karbida merupakan barangan yang digunakan bagi mencipta permainan Bedil Buluh yang mana kebiasaannya ia hanya dimainkan oleh lelaki dewasa.

Cara memasang bedil ini ialah de ngan memasukkan karbida ke dalam buluh tadi dan dicampur dengan sedikit air. Apabila campuran air mendidih kira-kira dalam beberapa saat lalu ambil kayu penunu yang dicelup dengan api dan dihalakan ke dalam lubang kecil di bahagian atas buluh dan bunyi letupan akan kedengaran.

Senapang Pek

Permainan ini sudah jarang dimainkan ketika ini. Senapang Pek memerlukan tiga bahan iaitu buluh, rotan dan peluru ‘biji’. Buluh kecil digunakan sebagai badan senapang kira-kiranya lebih kurang 30Sm panjang. Manakala rotan pula diperlukan untuk dijadikan sebagai picu untuk melepaskan peluru.

Satu lubang sederhana besar ditebuk di tengah-tengah untuk memasukkan peluru yang mana pemain boleh menggunakan kertas basah atau mana-mana buah yang sederhana kecil, manakala satu lubang lebih kecil ditebuk di bawah lubang besar untuk meletakkan dan ‘mengunci’ rotan tersebut yang akan berfungsi sebagai pemicu senapang. Dengan memasukkan peluru dan menolak picu rotan ke atas untuk menembak, maka bunyi ‘pek’ akan dapat didengar.

Kikik

Permainan ini lazimnya dimainkan semasa musim berangin untuk tujuan riadah dan juga perlawanan ‘bepulut’. Pelbagai jenis kreativiti kikik yang dicipta oleh masyarakat sebelumnya, antaranya Kikik Jilama, Kikik Ekong Siar, Kikik Jangkang, Kikik Lasik, Kikik Ragi Rantai dan Kikik Serbang atau Sibai Dua.

Gasing

Gasing memang terkenal dimainkan oleh golongan lelaki sahaja yang mana ia diperbuat daripada kayu yang keras dan lazimnya dimainkan di luar rumah.

Dalam perlawanan ini, semua pemain perlu memutar gasing masing-masing di atas tanah. Masa akan direkodkan untuk menentukan yang terbaik iaitu apabila gasing masih terus berputar, maka pemiliknya adalah pemenangnya.

Bukan sekadar mengisi masa lapang

Wujudnya permainan tradisi dalam sesebuah masyarakat Melayu sememangnya mempunyai beberapa peranan yang tertentu yang bukan sahaja setakat sebagai salah satu aktiviti yang dibuat bagi mengisi masa lapang, bahkan ia juga dapat membantu membina kebolehan diri para pemainnya antara- nya dari segi kecekapan serta ketangkasan dalam mengatur strategi sesebuah permainan.

Dalam pada itu, permainan tradisi ini juga mampu menimbulkan rasa kebersamaan dan rasa kekitaan kepada pemainnya iaitu lazimnya ketika melakukan permainan secara berkumpulan yang mana ia semestinya memerlukan kerjasama yang padu dalam berpasukan untuk meraih kemenangan.

Melalui permainan itu juga dapat membantu dari segi pendidikan tidak formal seperti main simban dan congkak terutamanya dari segi teknik pengiraan dalam situasi dan keadaan terhibur. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan sikap percaya diri seseorang individu dalam usaha memotivasikan diri untuk mencapai sesuatu yang diingini.

Jangan biarkan pupus ditelan zaman

Dalam pada itu, penciptaan permainan tradisional menggunakan bahan-bahan dari alam sekitar seperti rotan, kayu, batu dan sebagainya juga secara tidak langsung dapat melatih serta mendorong seseorang itu memiliki daya kreativiti dan kemahiran.

Mungkin tanpa kita sedari permainan ini sudah tidak menjadi amalan yang kekal dalam kalangan generasi muda kini bahkan mereka lebih memilih permainan moden yang berteknologi tinggi.

Dengan kata lain, ‘sukan kampung’ ini semakin lama semakin pupus dan tenggelam oleh teknologi baharu dan pengaruh luar sehingga generasi penerus kurang mengetahui akan permainan yang pernah diamalkan atau dimainkan oleh nenek moyang mereka sendiri.

Persoalannya di sini, siapakah lagi yang layak mengekalkan budaya sesebuah bangsa itu sendiri? Semestinya bangsa yang empunya budaya itulah yang perlu bertanggungjawab.

Dalam hal ini, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri, selaku masyarakat Brunei meliputi tujuh puak jati Melayu, sama ada ingin melihat budaya permainan tradisi kita hilang begitu sahaja atau mempertahankan kewujudannya.

Oleh itu, sama-samalah kita memartabatkan budaya kita seperti mempraktikkan permainan tradisi ini agar ia tetap bertapak dan kekal selamanya, ‘Takkan Melayu hilang di dunia’ dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat walaupun gelombang arus kemodenan tetap terus melanda kehidupan ini.