Jangan buang botol kosong merata tempat

Aktiviti riadah adalah salah satu aktiviti yang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini dan antara tempat yang menjadi tumpuan ramai ialah di Taman Mahkota Jubli Emas.

Tidak dinafikan kawasan taman ini sentiasa dipenuhi dengan pengunjung terutama pada waktu hujung minggu dan hari cuti. Tetapi amat mendukacitakan kerana terdapat segelintir pengunjung yang masih lagi tiada kesedaran sivik dan suka membuang sampah khususnya botol-botol minuman kosong di merata-rata tempat.

Jika ditinjau di kawasan tempat letak kereta berhadapan bangunan Istana Darussalam, botol-botol kosong ini penuh berselerakan di tepi-tepi jalan dari botol yang baru dibuang sehinggalah ke botol-botol yang sudah entah berapa lama di situ. Saya berasa begitu terkilan dan kecewa dengan sikap individu yang pengotor dan pentingkan diri sendiri ini. Sudah disediakan tempat riadah percuma, parking percuma tetapi masih lagi tidak tahu nak menghargai kemudahan yang diberikan.

Tidak susah rasanya jika selepas minum buang saja botol kosong tersebut ke dalam tong sampah atau simpan saja dahulu di dalam kereta dan balik buang di rumah. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam memastikan tempat riadah kita ini sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga.

Kepada pihak yang berkenaan, saya mencadangkan agar tong kitar semula diletakkan di kawasan ini untuk memudahkan pengunjung membuang botol-botol kosong mereka sekaligus dapat memelihara alam sekitar kita dari sisa-sisa bahan plastik ini. Diharap juga ada pihak yang dapat membersihkan kawasan ini supaya tiada lagi botol-botol yang berselerakan.

Warga Sumbiling

Kelihatan beberapa botol kosong yang berselerak di kawasan yang dimaksudkan oleh penulis. – Gambar serahan penulis