‘Jangan buat belian panik, bekalan penutup mulut dan hidung cukup’

KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Platform e-dagang utama di Malaysia, Shopee dan Lazada memberi jaminan bahawa bekalan penutup mulut dan hidung adalah mencukupi, justeru, tidak perlu membuat pembelian panik menjelang kewajipan memakainya di tempat-tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Menurut Shopee dan Lazada, wujud permintaan mendadak bagi pelitup muka sejak 23 Julai 2020 apabila kerajaan mengumumkan kewajipan memakainya di tempat-tempat awam dan pengangkutan awam susulan peningkatan kes COVID-19 dan kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam kalangan orang awam.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Urusan Serantau, Ian Ho berkata platform itu menyaksikan lonjakan permintaan penutup mulut dan hidung sebanyak 65 peratus berbanding sehari sebelum pengumuman itu dibuat. Malah, beliau berkata wujud peningkatan permintaan sebanyak 40 peratus dari minggu ke minggu sejak pengumuman sekolah akan dibuka pada 1 Julai 2020. Selain itu, platform e-dagang utama di Malaysia, Lazada Malaysia dalam satu e-mel memaklumkan pembelian purata harian bagi penutup mulut dan hidung telah melonjak sehingga tiga kali ganda sejak minggu lepas.

“Sekiranya pengguna mencari barangan di Shopee, mereka boleh melihat ramai penjual menawarkan barangan tersebut dengan harga berpatutan. Ketika ini, pembeli di platform kami menawarkan sekotak mengandungi 50 helai penutup mulut dan hidung pembedahan tiga lapisan di bawah harga siling borong yang terkawal. – Bernama