Jangan burukkan lagi musim kemarau

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) memohon kerjasama orang ramai untuk tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka kerana ia boleh menjejaskan lagi keadaan cuaca dan boleh mengakibatkan kebakaran berlanjutan serta menjejaskan kesihatan persekitaran.

Nasihat itu dikeluarkan dalam masa negara pada masa ini, mengalami masalah keadaan cuaca yang agak panas yang boleh menjadi punca kebakaran hutan dan rumput yang terhasil daripada bahang panas dari dalam tanah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, kebakaran hutan tanah gambut di Daerah Belait merupakan salah satu kebakaran besar yang sering berlaku ketika keadaan cuaca panas terik dan kering.

Kenyataan menambah bahawa perkara tu dipercayai berpunca daripada kejadian alam bermula dari api bawah tanah dan juga daripada kecuaian manusia yang mengambil kesempatan untuk membuat pembakaran terbuka dan ditinggalkan di kawasan hutan bagi kepentingan masing-masing.

Dalam hubungan itu, JBP, Cawangan Operasi B Daerah Belait, masa ini, sedang menjalankan operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut yang melibatkan anggaran kemusnahan lebih kurang 50 hektar di kawasan tanah gambut yang dikenal pasti.

Kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku di Daerah Belait kelmarin.
Asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di sebuah kawasan di Daerah Belait Ahad lalu.

Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk berdekatan Balai Raya Kampung Sungai Teraban, kawasan pendalaman Jalan Kuala Balai, lebuh raya Kilometer 10 Panaga-Seria berdekatan Perumahan RPN Kampung Panaga, Lebuhraya Mumong By Pass berdekatan tol keluar masuk Rasau, kawasan pusing keliling berdekatan KBSentral, berdekatan Masjid Zainab, Lumut dan kawasan Jalan Sungai Dua hingga ke Sungai Empat menuju ke Pos Imigresen Sungai Tujoh.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa hampir keseluruhan balai bomba di Cawangan Operasi B sedang menjalankan operasi memadam di kawasan-kawasan yang terjejas.

JBP, Cawangan Operasi B juga menerima bantuan sepadu bersama daripada pihak jabatan kerajaan dan swasta termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kerja Raya di Daerah Belait dengan memberikan bantuan air dari jentera tangki air dan Tentera Udara Diraja Brunei bagi bantuan water bombing.

Bantuan turut diterima daripada anggota dan jentera bomba Brunei Shell Petroleum bagi operasi memadam kebakaran di kawasan yang terjejas.

Selain daripada tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, orang ramai juga dinasihati jika mereka mendapati kebakaran kecil di tepi jalan raya, padamkanlah menggunakan air atau pasir bagi menggelakkan ia terus merebak, pengguna jalan raya disarankan supaya dapat memperlahankan kenderaan mereka dan sentiasa menyalakan lampu kenderaan semasa melintas kawasan yang terjejas tatkala berlakunya asap tebal menyelubungi kawasan jalan raya bagi mengelakkan dari berlakunya kemalangan.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat, jika mendapati perbuatan yang mencurigakan yang boleh menyebabkan kebakaran hutan, mereka boleh menghubungi talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei, 993 atau menghubungi talian Darussalam 123 bagi pembakaran terbuka.