Jangan cetus demonstrasi

JAKARTA, 18 April – Pihak berkuasa Indonesia hari ini memberi amaran agar rakyatnya tidak mencetuskan huru-hara ketika bekas jeneral bertanding menolak keputusan tidak rasmi yang tampaknya memberikan Presiden Joko Widodo satu lagi penggal sebagai pemimpin negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.

Ketua Polis Kebangsaan Indonesia, Tito Karnavian mengatakan semalam bahawa pilihan raya ‘lancar dan selamat’ seharusnya tidak diganggu gugat dengan demonstrasi dan memberi amaran akan melakukan tangkapan.

“Jika terdapat tindakan haram atau tidak berperlembagaan yang mengancam kestabilan dan keselamatan awam, pihak berkuasa akan mengambil tindakan keras,” katanya. “Kami tidak akan bertoleransi.”

“Saya menggesa semua orang agar tidak melakukan demonstrasi besar-besaran, sama ada untuk meraikan atau melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap keputusan pilihan raya,” tambah Karnavian.

Kempen tahun ini dijejaskan berselang-seli dengan penghinaan dan berita palsu online – kebanyakannya dilemparkan ke atas calon-calon presiden. Pihak berkuasa mengatakan bahawa mereka menyaksikan satu peningkatan dalam laporan palsu dan penipuan, dengan sebahagiannya menyeru bagi bantahan di jalanan dan bagi rakyat Indonesia melakukan keganasan berdasarkan respons terhadap keputusannya.

Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto (tengah) dan calon timbalan presidennya, Sandiaga Uno (kanan) menunjukkan aksi kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu semasa satu sidang media di Jakarta, 18 April. Pihak berkuasa Indonesia bagaimanapun memberi amaran agar tidak mencetuskan demonstrasi ketika bekas jeneral itu menolak keputusan tidak rasmi yang tampaknya menyebelahi Presiden Joko Widodo. – AFP

Walau bagaimanapun, ibu negara, Jakarta agak sunyi hari ini selepas seramai 190 juta rakyat mengundi dalam negara majoriti Islam itu dalam pilihan raya sehari—yang mencatatkan rekod 245,000 calon—untuk mengundi presiden baharu, ahli parlimen dan wakil rakyat tempatan.

Meskipun keputusan awal tidak dijangkakan keluar sehingga bulan depan, satu siri digelar ‘penghitungan cepat’ oleh penduga undi berdasarkan sampel, menunjukkan Widodo antara 9-11 peratus mendahului.

Penghitungan cepat mempunyai petunjuk boleh dipercayai pada pilihan raya masa lalu, namun Widodo bertahan daripada mengisytiharkan kemenangan manakala saingannya, Prabowo Subianto menegaskan bahawa beliau merupakan pemimpin seterusnya negara kepulauan itu.

Bekas jeneral—yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Suharto, dijatuhkan dalam 1998—sebelumnya memberi amaran bahawa beliau akan mencabar keputusan itu di mahkamah jika beliau kalah dan mengadakan protes jalanan atas tuduhan penipuan pilihan raya.

“Kami tidak akan menggunakan taktik haram kerana kami sudah menang,” kata Subianto semalam. “Bagi mereka yang mempertahankan saingan saya, saya masih akan mempertahankan kamu. Saya presiden semua rakyat Indonesia.” – AFP