Mental pekerja adalah aset, bukan alat untuk diperah sehingga ke tahap yang tidak dapat dibendung.
Namun, realitinya, ramai majikan lebih ghairah mengejar keuntungan tanpa peduli sama ada pekerjanya cukup rehat atau sekadar ‘hidup’ untuk bekerja.
Beban kerja yang berlebihan tidak mendatangkan apa-apa manfaat untuk jangka waktu yang panjang. Sebaliknya, ia hanya mencetuskan budaya kerja toksik, membunuh produktiviti dan menekan mental pekerja sehingga membawa keletihan emosi serta fizikal.
Jika situasi ini berterusan, bagaimana mungkin kualiti kerja dapat dijamin?
Tidak dinafikan, tuntutan kerja berkualiti tinggi adalah keutamaan setiap majikan.
Namun, sikap sesetengah majikan yang mahukan hasil cemerlang tanpa menyediakan tenaga kerja mencukupi merupakan tindakan yang tidak realistik. Kesan daripada kekurangan tenaga kerja akan menyebabkan beban kerja semakin berganda yang akhirnya dipikul oleh pekerja sedia ada.
Keadaan itu bukan sahaja membawa kepada keletihan fizikal dan mental, tetapi juga menjejaskan kualiti hasil kerja yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Ada juga majikan yang pantas menyalahkan pekerja apabila kerja yang perlu disiapkan, tidak mencapai sasaran yang dikehendaki.
Majikan juga perlu seharusnya ‘turun padang’ melihat isu atau cabaran yang dihadapi oleh pekerja, selain untuk memahami keadaan tempat kerja, memperbaiki proses kerja, meningkatkan produktiviti dan memastikan kesejahteraan semua pihak terpelihara.
Dian
