Jangan diskriminasi pesakit COVID-19

Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Orang ramai adalah diingatkan untuk tidak mendiskriminasikan mana-mana pesakit atau bekas pesakit dan sesiapa yang ada kaitan dengan mereka, termasuk tempat mereka bekerja.

Peringatan tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa bekas-bekas pesakit COVID-19 telah disahkan sembuh dan tidak akan menjangkiti orang lain.

“Sebarang diskriminasi ke atas pesakit-pesakit atau bekas pesakit COVID-19 tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.

Beliau tetap menekankan untuk tidak mendiskriminasikan para pesakit meskipun ada dalam kalangannya yang telah sembuh itu berkemungkinan mempunyai masalah kesan sampingan daripada virus itu yang berlanjutan sehingga memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya seperti masalah pernafasan dan lemah.

Menurutnya lagi, orang ramai seharusnya memberikan sokongan kepada mereka semasa mereka menjalani proses pemulihan selepas dijangkiti dan seterusnya mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan bagi mereka yang masih dalam rawatan agar dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.