Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Jangan fikir untung saja

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Dalam berniaga, semua peniaga mahukan keuntungan namun dalam mencari keuntungan, mereka hendaklah menitikberatkan jujur dan amanah, kerana kedua-dua sikap itu merupakan antara punca mendapat keberkatan dalam rezeki.

    Peniaga yang lebih mengutamakan keuntungan sehingga sanggup menipu dan khianat kepada orang ramai sebenarnya telah memilih jalan yang tidak halal walaupun hasil daripada tipu daya tersebut membawa keuntungan yang lumayan dan kemewahan dalam kehidupan, namun hasil yang diperoleh itu tidak akan sama sekali mendatangkan keberkatan malah mengundang kemurkaan Allah.

    Khatib menegaskan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Jujur dan Amanah dalam Berniaga’.

    Menurutnya, mencari rezeki melalui jalan yang halal lagi baik bagi memenuhi tuntutan dan keperluan kehidupan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang yang berada di bawah tanggungan, memang dituntut dalam agama Islam.

    Dalam meraih keberkatan mencari rezeki itu, terdapat banyak cara atau jalan yang boleh dilakukan antaranya melalui berniaga di mana dalam berniaga antara ciri utama yang perlu diamalkan adalah bersikap jujur dan amanah.

    “Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis Baginda bahawa peniaga yang jujur dan amanah dalam mengendalikan perniagaan telah dijanjikan kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.

    “Orang yang jujur dan amanah itu memang selayaknya mendapat ganjaran kerana dalam dunia perniagaan, seorang peniaga akan menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan seperti cenderung bersifat tamak bagi mendapatkan keuntungan yang banyak walaupun melalui jalan yang salah seperti melakukan penipuan, pengkhianatan dan seumpamanya,” tegasnya.

    Oleh itu, katanya, para peniaga hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menjalankan perniagaan mereka supaya tidak terjerumus melakukan apa juga perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan juga undang-undang negara seperti menjual barang yang haram seperti arak, barang curian, barang seludup dan seumpamanya.

    Khatib seterusnya mengingatkan, hasil yang diperoleh itu tidak akan membawa ketenangan dan ketenteraman jiwa keluarga dan harta benda malah ia membawa kepada dosa dan memakan harta orang iaitu secara salah.

    Dalam konteks perniagaan dan perdagangan, jelasnya, apa yang membimbangkan ialah fenomena penipuan khususnya dalam aktiviti import dan eksport sebenarnya telah berlaku pada masa ini.

    Menurutnya, ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, mereka cuba membawa masuk komoditi dan barangan ke negara ini dengan pelbagai cara antara yang pertama tanpa memberikan maklumat pengisytiharan yang betul kepada pihak berkuasa.

    Selain menyembunyikan barangan yang dibawa supaya tidak dapat dikesan oleh pegawai yang bertugas di pos kawalan atau di tempat pemeriksaan.

    Manakala, menyeludup barang masuk melalui hutan-hutan, sempadan darat dan perairan yang tidak diketahui tahap keselamatannya daripada serangan binatang buas dan sebagainya.

    Khatib seterusnya menambah, si penyeludup atau orang yang tidak bertanggungjawab cuba membawa masuk bara-ngan atau apa juga jua komoditi dari luar negara ini, hanya memikirkan kebaikan jangka pendek yang diperoleh daripada upah, imbalan atau keuntungan daripada penjualan barangan atau komoditi tersebut.

    “Tetapi jika diukur dari sudut jangka panjang, barangan yang diseludup mungkin saja boleh membahayakan dan memudaratkan pengguna yang akan menggunakan barangan tersebut khasnya dalam konteks kesihatan dan keselamatan,” tegasnya.

    Sehubungan itu, dalam memastikan aktiviti perniagaan dan perdagangan di negara ini betul dan bersih daripada penipuan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi berperanan memastikan aktiviti import dan eksport ini dilaksanakan selaras dengan memenuhi kehendak undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa ini.

    Para peniaga hendaklah menjalankan perniagaan dengan cara yang diredai Allah, jangan kerana hendak meraih keuntungan yang berlipat ganda maka perkara yang salah pula dilakukan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...