Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Orang ramai dinasihatkan agar tidak ghairah untuk mendapatkan ujian COVID-19 dengan tidak membeli sebarang test kit yang terdapat di luar sana.
Meskipun terdapat banyak test kit COVID-19, namun tidak semuanya berkesan atau baik, jelas tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan pada ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan test kit yang boleh digunakan oleh orang ramai.
Semua test kit COVID-19 tersebut perlulah mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.
Perkara berkenaan tegas beliau, adalah penting kerana dikhuatiri test kit yang tidak disahkan tersebut akan mengeluarkan keputusan ujian saringan yang salah dan tidak berkesan yang boleh memberikan tanggapan salah sehingga menimbulkan kekhuatiran pada masa mendatang.