Jangan guna sihir untuk berubat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Umat Islam digalakkan untuk berikhtiar berubat jika didatangi penyakit sama ada merawatnya melalui perubatan moden, alternatif dan lama seperti menggunakan herba daripada tanaman-tanaman atau akar kayu.

Namun terdapat juga mereka yang mencari dan menggunakan cara berubat yang salah di sisi agama Islam iaitu bergantung kepada orang yang menggunakan sihir. Orang yang merawat menggunakan sihir ini kebanyakannya menggunakan patung-patung, mantera-mantera untuk memanggil jin dan syaitan dan mereka yang mempercayai ahli sihir ini berisiko merosakkan akidah mereka sendiri.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menyentuh mengenai rawatan sihir ini dalam Kuliah Bersama Mufti di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut hari ini.

Dalam kuliahnya, beliau memberi contoh pernah membaca rencana tulisan seorang ulama yang kebanyakan perempuan-perempuan Muslimat cenderung mencari bomoh daripada kalangan ketua-ketua agama lain meminta suami-suami mereka dirawat dan diubati dalaman mereka kerana suka berfoya-foya dan mengabaikan rumah tangga bahkan perempuan-perempuan ini sanggup berbelanja untuk perubatan itu.

Beliau menjelaskan percaya kepada ahli sihir ini bukan sahaja mempercayai cakap-cakapnya yang suka menilik perkara-perkara ghaib, malah ahli sihir juga mengakui bahawa dia boleh menolak bahaya dengan melakukan sesuatu yang ganjil seperti menanam patung atau besi atau apa sahaja benda di halaman rumah kita, nanti dengan benda-benda ini tertolaklah segala bencana atau bahaya.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan kuliah mengenai perubatan menggunakan sihir yang dilaknati Allah SWT. – Gambar serahan Jabatan Mufti
Antara yang mendengarkan kuliah subuh oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. – Gambar serahan Jabatan Mufti.
Antara jemaah perempuan yang hadir pada ceramah itu. – Gambar serahan Jabatan Mufti.

“Namun semua itu adalah sesat dan dilaknati Allah SWT. Malah ia boleh menjuruskan sesiapa yang mempercayainya kepada kufur, keluar daripada agama Islam, amalannya tidak diterima oleh Allah SWT.”

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam negara ini tidak berubat dengan ahli sihir, malah jangan berkawan sama ada pergi berkunjung saja-saja atau dengan senang hati menerima ahli sihir ini kerana akidah boleh rosak binasa atau ibadat tidak akan diterima langsung kerana berhubungan dengan mereka.

Menurut Yang Berhormat Mufti lagi, untuk berubat, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya menggunakan surah-surah pendek terutamanya Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas agar sesebuah keluarga itu dilindungi daripada segala kejahatan makhluk dan penyakit.

Surah-surah pendek ini, berdasarkan kisah Rasulullah dan sahabatnya, Abdullah bin Habib, diajarkan Rasulullah sebagai kubu yang tidak pernah ditinggalkan Nabi Muhammad SAW dan menjadi pelindung malah ubat baginya.

Yang Berhormat Mufti mengatakan ubat lain termasuklah sering melafazkan Assalamualaikum, Bismillah, Alhamdulillah agar ia menjadi kubu daripada syaitan dan menghindari syaitan daripada mudah bertapak dalam rumah tangga dan melalaikan manusia. Manakala ketika dilanda masalah, jangan cepat pergi kepada bomoh, dukun dan tukang tilik kerana ia hanya akan mengundang laknat dan dosa kepada pengamalnya, tegasnya. Ubat untuk masalah rumah tangga hanyalah kembali kepada Allah, dapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang pakar, ulama agama, kata Yang Berhormat Mufti mengakhiri kuliahnya.