Jangan guna terowong pembasmi kuman

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai terutamanya premis-premis perniagaan untuk tidak menggunakan terowong pembasmian kuman (disinfectant tunnel), ruang pembasmian kuman (disinfectant chamber), kabinet pembasmian kuman (disinfectant cabinet) atau apa jua modaliti yang membabitkan penyemburan pembasmi kuman ke atas orang awam yang tidak memakai pakaian perlin-dungan diri (PPE).

Pemakluman ini dibuat berikutan dengan notis Amaran Alat Kesihatan (Health Devices Alert) yang diterima daripada pihak ECRI iaitu sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dalam meningkatkan keselamatan, kualiti dan keberkesanan penjagaan kesihatan dan juga daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai alat penyemburan pembasmi
kuman.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan lagi bahawa pembasmian kuman melalui penyemburan boleh mengakibatkan kerengsaan atau kerosakan sementara pada kulit, mata dan sistem pernafasan melalui penyerapan melalui kulit, mata atau paru-paru.

Kesan negatif yang mungkin dihadapi akibat terdedah kepada kimia berkenaan termasuklah pening dan muntah, kesan kesihatan sementara atau kekal yang lain-lain tertakluk kepada bahan kimia yang digunakan pada penyembur. Jika terdapat individu yang mengalami kesan-kesan berkenaan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan alat-alat berkenaan, mereka hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan perhubungan lanjut, bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau menghantar e-mel kepada [email protected]

Ilustrasi contoh bagi alat penyemburan pembasmi kuman.- Gambar serahan Kementerian Kesihatan