‘Jangan guna treadmill buatan Peloton’

NEW YORK, 18 APRIL – Sebuah agensi persekutuan Amerika Syarikat (AS) menggesa orang ramai dengan anak dan haiwan peliharaan di rumah supaya berhenti menggunakan treadmill buatan Peloton, memetik kecederaan dan satu kematian yang dikaitkan dengan mesin itu.

Dalam satu amaran, Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS (CPSC) berkata semalam treadmill Tread+ menimbulkan risiko serius kepada kanak-kanak, termasuk luka melecet, retakan malah kematian.

Badan pengatur selia itu berkata ia sedar mengenai 39 kejadian yang membabitkan treadmill, termasuk ‘beberapa laporan kanak-kanak terperangkap, terhimpit dan tertarik’ di bawah penggelek. Seekor haiwan peliharaan juga dilaporkan disedut di bawah mesin berkenaan.

Satu video yang dimuat naik oleh CPSC di YouTube menunjukkan seorang budak terperangkap dengan kepala di bawah treadmill yang bergerak sebelum berjaya melepaskan diri.

Dalam kenyataannya sendiri, Peloton menganggap amaran suruhanjaya keselamatan ‘sebagai tidak tepat dan mengelirukan.’

Sementara ia mengakui seorang budak maut pada Mac ketika menggunakan Tread+ dan seorang lagi mengalami kecederaan otak, syarikat berkata tidak adanya sebab-sebab untuk berhenti menggunakan mesin itu asalkan arahan keselamatan diikuti.

Menurut suruhanjaya keselamatan, dalam sekurang-kurangnya satu insiden kanak-kanak cedera ketika ibu bapa menggunakan treadmill ‘mencadangkan risiko tidak dapat dielakkan hanya dengan mengunci mesin apabila tidak digunakan.’ – AP

Gambar fail menunjukkan dek larian treadmill buatan Peloton semasa CES 2018 di Pusat Konvensyen Las Vegas di Las Vegas, Nevada. Orang ramai diingatkan berhenti menggunakan treadmill Peloton, memetik kecederaan dan satu kematian dikaitkan dengan mesin itu. -AFP