Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Persatuan-persatuan sukan kebangsaan di negara ini disarankan sentiasa memastikan dan membuat perancangan lebih terperinci terhadap atlet-atlet mereka bagi menghadapi persediaan pertandingan sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.
Persatuan-persatuan ini juga diingatkan agar tidak hanya berharap kepada bantuan daripada pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan Belia dan Sukan sahaja, namun seharusnya mempunyai sikap dan sifat yang proaktif berusaha mencari jalan bagi kepentingan dan menjaga kebajikan atlet-atlet negara ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, selaku Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika bersabda pada Mesyuarat Post-Mortem XXII Sukan Komanwel 2022 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
“Persatuan-persatuan sukan kebangsaan hendaklah sentiasa bersatu hati dengan atlet-atlet mereka dalam sama-sama mencapai matlamat yang penting iaitu mengharumkan nama negara kita.
“Pertelingkahan dalam mana-mana persatuan sukan kebangsaan, tidak akan mendatangkan hasil ataupun kejayaan, malahan ia akan membawa kejatuhan kepada persatuan kebangsaan tersebut,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Ketika menyentuh mengenai pungutan pingat, Duli Yang Teramat Mulia menekankan meskipun atlet negara tidak beroleh sebarang pingat dalam temasya itu, namun semangat juang yang tidak pernah luntur ditunjukkan oleh para atlet adalah perkara yang amat membanggakan yang patut dijadikan contoh.
Duli Yang Teramat Mulia turut menasihatkan para atlet agar meneruskan persediaan dan menetapkan hala tuju mereka, perancangan bagi mengikuti kejohanan-kejohanan akan datang, di samping menetapkan sasaran dalam melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan datang sebagai titik matlamat.
Pada mesyuarat itu juga, Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel ke-22, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Matjinen telah menyembahkan laporan kontinjen ke Sukan Komanwel itu.
Beliau antara lain menyembahkan mengenai prestasi dan pencapaian atlet, di samping rumusan dan cadangan bagi pembaikan prestasi atlet.
Menurut beliau, sebanyak 26 acara sukan dipertandingkan yang mana Negara Brunei Darussalam menyertai boling padang dan angkat berat.
Atlet angkat berat layak ke Sukan Komanwel melalui kejohanan antarabangsa dan mempamerkan prestasi yang meningkat dengan mencatat rekod kebangsaan.
Awang Mohammad Nashrul bin Haji Abu Bakar telah berjaya mencapai sasaran Clean & Jerk angkatan 132 kilogram (kg), iaitu peningkatan sebanyak 7kg daripada sasaran 125kg.
Sementara itu, bagi Snatch, beliau tidak mencapai sasaran di mana terdapat kekurangan 10kg daripada sasaran 105kg dan secara keseluruhan, atlet negara tidak mencapai jumlah sasaran, kurang 3kg daripada sasaran 230kg.
Apa yang membanggakan lagi, selain dapat memperbaiki rekod bagi diri beliau dan kebangsaan, Awang Mohammad Nashrul juga menerima Certificate of Merit By Commonwealth Games Federation.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; ahli-ahli Jawatan-kuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan dan wakil persatuan-persatuan sukan kebangsaan.