Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan jadi jaguh tularkan berita

    KUALA BERANG, 14 Feb – Jangan sibuk untuk menjadi jaguh dengan cara tularkan berita di media sosial hingga lupa sensitiviti mangsa apatah lagi melibatkan kematian, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.

    Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu meluahkan rasa tidak puas hatinya di atas penularan berita kematian seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman Gemas, Negeri Sembilan yang tular semalam selepas terkena bilah pisau traktor mesin rumput.

    “Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan seharusnya netizen (pengguna internet) harus fikir sama ada perkara ini benda yang harus disebarkan ataupun tidak. Lihat sama ada ia mengganggu sensitiviti seseorang dan seharusnya menjadi pengguna yang bertanggungjawab dalam memilih berita mana yang patut disebarkan.

    “Berita seperti kecelakaan yang memperlihatkan wajah jelas seseorang sepatutnya tidak harus disebar secara meluas. Fikir perasaan keluarga yang terlibat, ini kita berterusan untuk kongsi perkara tersebut supaya dilihat sebagai jaguh dalam menyampaikan maklumat. Kalau dapat sekadar untuk kita tahu dan ambil iktibar, jangan kita sebarkan,” katanya.

    Datuk Seri Jailani Johari (kanan) menyampaikan sumbangan cek Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) kepada pesakit kronik Zainuddin Mohd Yusuff, 74, ketika menziarah pesakit tersebut di Kampung Tok Randok kelmarin. – Bernama

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Randok, Ajil yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail.

    Semalam, pelajar perempuan tingkatan dua sekolah berkenaan, Nur Afini Roslan, maut manakala dua pelajar lelaki cedera terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu ketika menyertai raptai perbarisan sukan.

    Jailani berkata, perbuatan yang tidak beretika tersebut menjadi satu kesalahan di bawah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau tidak melebihi satu tahun penjara, jika sabit kesalahan.

    Dalam perkembangan lain, Jailani juga mengharapkan pemantauan berterusan terutamanya ibu bapa kepada golongan remaja dalam segala perbuatan mereka di alam maya bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan unsur-unsur negafif di media sosial. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda