Jangan jadi perosak industri – Zul Huzaimy

Tindakan pelakon tidak mempunyai kelayakan akademi mahupun pernah merangkul trofi anugerah menganjurkan kelas lakonan hanya boleh merosakkan industri seni.

Itu pandangan aktor versatil, Zul Huzaimy. Malah, bakat dan pengalaman sahaja tidak memadai untuk membolehkan seseorang pelakon bergelar guru lakonan.

Sebaliknya, aktor yang pernah diangkat Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-21, menerusi filem Wayang itu berkata, setiap lakonan memerlukan teknik yang berbeza.

“Tidak semua perkara yang diajar pengarah boleh diguna pakai apabila memasuki lokasi penggambaran lain. Ada yang mungkin hanya sesuai dibawakan pada ketika itu sahaja, tetapi jika masuk ke set drama lain, karakter sudah tidak relevan digunakan.

“Sekiranya mempelajari teknik lakonan secara formal, kita akan alami tujuh hingga 12 pilihan untuk sesebuah karakter yang dibawakan. Contohnya, babak marah, tidak semestinya apabila marah perlu menjerit, sebaliknya ada pelbagai teknik membawakan karakter ini dengan penuh emosi,” katanya.

Zul Huzaimy berkata, dia melihat kelas lakonan daripada mereka yang kurang bertauliah semakin banyak dianjurkan. Justeru, dia bimbang ia boleh merosakkan industri seni.

Tambahnya, apa yang membuatkannya lebih terkejut apabila ada yang menganjurkan bengkel lakonan tanpa sokongan tenaga pengajar lain. Sebaliknya, pelakon yang sama menjadi tenaga pengajar dari awal sehingga akhir kelas.

“Saya terkejut apabila ada yang tidak mengundang tenaga pengajar lain, sebaliknya mengendalikan semua kelas. Saya sendiri tidak akan mengajar seorang diri, lebih selesa mengundang mereka yang lebih pakar untuk bahagian tertentu.

“Melainkan memang berpengalaman dan berbakat, itu tidak perlu dipersoalkan se-perti Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud. Mereka layak berkongsi ilmu dengan pelapis baharu dalam bidang lakonan,” katanya. – Agensi

Zul Huzaimy bimbang melihat kelas lakonan daripada mereka yang kurang bertauliah semakin banyak dianjurkan. – Agensi