Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SER BEGAWAN, 12 JAN – Setakat ini, mana-mana kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar bukanlah disebabkan penularan semasa mereka berada di sekolah tetapi melibatkan pelajar-pelajar yang masih berada di rumah iaitu melalui household transmission.
Jika para pelajar didapati positif hasil ujian saringan ART, maka dalam hal ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan, mereka dikehendaki untuk menjalani ujian PCR di hospital yang berdekatan dengan serta-merta dan hanya akan dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran fizikal di sekolah apabila adanya pengesahan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan yang menyatakan mereka sudah didapati negatif.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman mengenai langkah-langkah SOP yang sedang giat dilaksanakan Kementerian Pendidikan pada masa ini dalam sama-sama membendung penularan, lebih-lebih setelah pembukaan sesi pendidikan secara fizikal pada Fasa Awal Endemik, semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato turut menekankan agar ibu bapa dan penjaga yang mendapati anak-anak mereka berada dalam keadaan kurang sihat seperti demam, selesema dan sebagainya untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dan terus mendapatkan rawatan tertentu serta memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai hal tersebut.
“Mana-mana pelajar memiliki ahli keluarga di kediaman mereka yang diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin dan masih belum menerima hasil ujian PCR maka dalam perkara ini adalah sebaik-baiknya pelajar-pelajar berkenaan untuk tetap berada di rumah mereka terlebih dahulu sehingga mereka menerima nasihat dan keputusan dari pihak Kementerian Kesihatan.
“Sehubungan dengan itu, sesi pembelajaran mereka pada ketika itu akan dijalankan melalui kaedah dalam talian atau diberikan Home Learning Pack (HLP) agar tidak ketinggalan,” tambah Yang Berhormat Menteri Pendidikan.