Jangan lakukan pembakaran terbuka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan orang ramai untuk memberikan kerjasama dan sama-sama mengambil peranan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka atau perunan sama ada membersihkan kawasan untuk bercucuk tanam, kawasan rumah atau kawasan lain seperti tapak pembinaan yang boleh menyebabkan risiko kebakaran dan memusnahkan harta benda serta boleh menyebabkan keadaan jerebu.

Menurut kenyataan JBP hari ini, panggilan kejadian kebakaran hutan berdekatan simpang Satelit Bumi Telisai, Tutong telah diterima pada pukul 8:52 malam di mana sebuah jentera bomba bersama enam orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bukit Beruang yang diketuai oleh Ketua Pasukan A, Timbalan Pegawai Balai Said bin Abdullah dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menjelaskan bahawa semasa membuat rondaan di sepanjang Lebuhraya Telisai, Tutong, kebakaran berlaku bertompok-tompok dan sebatang paip PVC (gambar bawah) dalam keadaan menyala dijumpai berhampiran tempat kejadian.

Sehubungan dengan itu, pihak JBP telah melaporkan perkara itu ke Balai Polis Tutong untuk tindakan selanjutnya.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba dan penyelamat bertindak memadam kebakaran menggunakan hos reel, air diperoleh dari jentera bomba dan ranting kayu sebagai pemukul memadamkan kebakaran hutan merebak ke kawasan lain.

Kenyataan menyatakan bahawa kesan akibat kebakaran itu telah menyebabkan kualiti udara semakin berkurangan dan akibat asap kebakaran itu, ia boleh menyebabkan orang di kawasan persekitaran terdedah kepada penyakit dan boleh memudaratkan lagi mereka yang mempunyai penyakit asma.

JBP turut menyarankan orang ramai jika mendapati ada kebakaran kecil di tepi-tepi jalan raya, mereka diharap memberikan bantuan dan kerjasama memadamkan api itu sebelum ia merebak dan menjadi api besar, memadamkan api rokok dan jangan membuang rokok sesuka hati di merata tempat serta jangan menyalakan api semasa beriadah di dalam hutan.

Mereka juga disarankan untuk melaporkan kepada pihak Polis Diraja Brunei di talian 993 apabila melihat perbuatan yang mencurigakan, mengambil atau merosakkan pili-pili bomba atau JBP di talian 995 bagi sebarang insiden kecemasan dan talian aduan, Darussalam 123 bagi aduan pembakaran terbuka.

Kenyataan itu menekankan lagi bahawa menjadi kesalahan bagi sesiapa yang didapati menyebabkan kebakaran dengan sengaja atau kecuaian atau membuat apa saja perkara berkaitan dengan api sehingga membahayakan nyawa, harta atau mencemar atmosfera sehingga menjejaskan kesihatan orang awam, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.