Tuesday, January 21, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jangan lalai, patuhi peraturan’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Orang ramai diseru supaya jangan lalai dan sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan semasa negara melalui Fasa Endemik dan sentiasa mengambil langkah berhati-hati serta bertawakal kepada Allah SWT.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyampaikan nasihat tersebut pada Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi minggu ke-14, semalam.

    Turut menyertai majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Ahmad Faez bin Haji Daim dan bacaan Doa Yasin dibacakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.

    Majlis Malam Munajat kemudiannya diisikan dengan Zikir Istighfar dan Taubat beramai-ramai dipimpin oleh Pengarah Pusat Pengkajian Ahli Sunnah Wal Jamaah KUPU SB, Haji Mohd Azmi bin Haji Omar dan diteruskan dengan bacaan Doa bagi Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19.

    Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Asma’ul Husna dan bacaan selawat beramai-ramai dipimpin oleh mahasiswa Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), KUPU SB, Awang Muhammad Nabeel Min Fadhillah bin Haji Abdul Majid.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Imam Tingkat I, Jame’ `Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

    Turut sama menyertai Majlis Malam Munajat ialah Setiausaha Tetap Kementerian KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Tetap, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, raes KUPU SB, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan KHEU.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa menyertai majlis tersebut secara dalam talian, baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda