Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Jangan leka di stesen minyak

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Walaupun pada dasarnya, prestasi kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) di stesen minyak adalah baik tetapi sejak kebelakangan ini, beberapa insiden yang membimbangkan berlaku dan memberi isyarat bahawa kita sudah mula merasa selesa sehingga leka dan mengakibatkan terjadinya insiden-insiden di stesen minyak.

    “Insiden-insiden seperti flash fire sewaktu pengisian minyak ke kontena, Juara Servis dilanggar kenderaan semasa bertugas di pam minyak, Juara Servis diserang ketika menjalankan tugas, mengisi minyak salah dan nozel minyak tercabut adalah antara insiden-insiden yang berlaku di sepanjang tahun ini.”

    Jumlah insiden yang berlaku hingga Julai 2022, sudah pun melebihi jumlah insiden yang berlaku pada 2021, dedah Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat (FSFS) BSM 2022 yang berlangsung di Tingkat LR, Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran kempen ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammd Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemilik dan pengusaha stesen minyak, kakitangan BSM serta jemputan khas.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyempurnakan penyampaian poster kempen pada majlis yang berlangsung di Tingkat LR, Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary diberikan penerangan mengenai insiden-insiden yang berlaku di stesen minyak.

    Awang Muhammad Norshafiee menyatakan bahawa insiden-insiden yang berlaku itu, mesti diambil perhatian serius kerana ia sudah dianggap sebagai bukan perniagaan seperti biasa, oleh itu, kerjasama pihak stesen minyak adalah penting bagi kejayaan kempen keselamatan FSFS berkenaan.

    Beliau menambah, tidak dapat dinafikan bahawa garis panduan atau peraturan di stesen minyak memang tersedia ada dan telah dikongsi bersama pihak stesen minyak dan melalui poster serta media sosial bagi orang ramai, akan tetapi insiden-insiden itu, tetap saja akan berlaku jika kita tidak mematuhi kepada garis panduan dan peraturan berkenaan.

    Selepas melancarkan kempen berkenaan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut menyempurnakan penyampaian poster kempen kepada pemilik dan pengusaha stesen minyak serta surat lantikan Retail HSE Ambassador.

    Kempen berkenaan merupakan siri kempen keempat bagi BSM sejak mula dilancarkan pada 2014. Tahun ini, ia adalah hasil kerjasama dan sokongan Autoriti Petroleum Brunei Darussalam (PA) dan BSM untuk menjana kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di stesen minyak dan akibat ketidakpatuhan yang mungkin boleh mendedahkan Juara Servis dan pelanggan kepada bahaya, mengukuhkan budaya kepatuhan di serata stesen minyak serta menekankan kesejahteraan dan keselamatan Juara Servis dalam melaksanakan tugas mereka untuk memastikan kepatuhan dan keselamatan pelanggan.

    Kempen itu akan berjalan selama empat minggu dengan setiap minggu menumpukan kepada tema yang berbeza yang berkaitan dengan insiden yang telah berlaku di stesen minyak.

    Di samping itu, BSM, PA, Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) juga akan mengadakan lawatan bersama ke stesen minyak terpilih untuk berkomunikasi dengan penjual dan orang ramai mengenai dengan matlamat serta tujuan kempen berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...