Jangan leka meskipun kes jangkitan harian menurun

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menzahirkan kesyukuran dengan penurunan kes baharu jangkitan COVID-19 baharu yang dicatatkan di negara ini.

Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

Tambahan lagi setiap hari masih lagi ada yang didapati melanggar arahan Operasi Pulih yang ditetapkan, tegas beliau sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa penularan COVID-19 masih belum berakhir, oleh itu orang ramai perlu sentiasa berwaspada terutama sekali ketika negara akan mencapai keadaan endemik di mana segala SOP mesti dipatuhi bagi memastikan pengawalan masih berjalan dengan baik.

Apa yang tidak diingini terjadi, jelas beliau, adalah kes kembali meningkat apabila endemik dimulakan.

Dengan kerjasama semua pihak, diharapkan kes-kes di negara ini akan menurun.

Lebih separuh daripada kes yang dicatatkan pada hari ini disebabkan penularan di tempat tinggal pekerja dan kontak yang telah dikesan sebelumnya, tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.