Jangan leka semasa Fasa Peralihan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pelaksanaan Fasa Peralihan mengambil kira keupayaan untuk mengesan kes jangkitan dan kapasiti sistem kesihatan dalam menangani pandemik COVID-19 dari segi jumlah katil di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) dan hospital serta pertimbangan berkaitan dengan penduduk yang terdedah dan risiko disebabkan jangkitan berkenaan.

Di samping itu, langkah-langkah kawalan diperketatkan diperkenalkan jika perlu berdasarkan kepada keadaan jangkitan iaitu jika jumlah mereka yang dimasukkan ke dalam hospital atau NIC boleh membebankan sistem kesihatan negara.

Perkara itu diterangkan oleh Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr Haji Muhammad Norizni bin Haji Mosli semasa sesi temu bual mengenai garis panduan Fasa Peralihan yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa garis panduan berkenaan digubal berdasarkan kepada penelitian terperinci di mana ia akan dapat membantu meningkatkan kebajikan negara secara keseluruhannya dari segi sosial, ekonomi dan mengurangkan bebanan dalam usaha untuk menentang penularan COVID-19.

Dalam pada itu, beliau menekankan supaya orang ramai dan semua pihak akan memainkan peranan untuk mematuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sepanjang Fasa Peralihan bagi memastikan kes-kes jangkitan tidak melonjak secara mendadak di mana ia berkemungkinan boleh membawa kepada pelaksanaan langkah-langkah kawalan diperketatkan semula.

“Kita harus sentiasa berwaspada dan peka kerana masih terdapat risiko jangkitan. Oleh itu, orang ramai harus sentiasa bersikap bertanggungjawab sosial untuk menjaga diri mereka dan untuk meminimumkan jangkitan.”

Peralihan kepada Fasa Endemik, jelasnya, bergantung kepada bagaimana kita dapat menangani keadaan jangkitan COVID-19 di mana jika jangkitan melonjak tinggi, kita tidak mungkin akan dapat beralih ke fasa seterusnya dan ia setentunya akan memberikan tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara.

Dr Haji Muhammad Norizni memberikan penerangan mengenai garis panduan Fasa Peralihan.