Jangan lepaskan peluang 10 malam terakhir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini meneruskan lagi program tazkirah dalam talian yang mengetengahkan tajuk ‘Peluang di 10 Malam Terakhir Bulan Ramadan’.

Episod ke-15 Program Ramadan Mubarak bersama KUPU SB ini menampilkan Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan, KUPU SB, Dr Mohd Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.

Dalam tazkirah itu, beliau menekankan sabda Rasulullah SAW mengenai malam Lailatulqadar iaitu barang siapa yang menghidupkan malam Lailatulqadar dengan amal soleh, ibadah, penuh dengan keimanan dan pengharapan keredaan, ganjaran daripada Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

“Jadi, bagaimanakah kita menghidupkan malam Lailatulqadar terutama sekali 10 malam terakhir iaitu dengan mendirikan solat Fardu Isyak dan Subuh secara berjemaah, kerana menurut sebuah hadis, barang siapa yang melakukan solat Fardu Isyak dan Subuh berjemaah seolah-olah ia mendirikan amal di seluruh malam.

“Kedua, kita hendaklah mendirikan solat Sunat Terawih dan Witir sepanjang bulan Ramadan. Kita juga tahu bahawa solat Sunat Terawih itu adalah satu-satunya amal yang hanya dapat dilakukan di bulan Ramadan dan yang ketiga ialah hendak kita memperbanyakkan doa meminta keampunan kepada Allah SWT, sesungguh Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Pencinta terhadap pengampunan,” tekannya.

Dengan itu, tekan beliau, jangan melepaskan peluang di 10 malam terakhir Ramadan, rebut peluang untuk mendapat keredaan dan pengampunan dari Allah SWT.

Program Ramadan Mubarak diteruskan dengan tazkirah dalam talian bagi episod ke-15 yang telah disampaikan oleh Dr Mohd Hilmy Baihaqy.