(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).
Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun dari segala dosa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an yang tafsirnya, “Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi” (Surah An-Nisaa, 106)
Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya, “Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Mu’min, 55)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menganjurkan kepada hamba-hambaNya agar sentiasa beristighfar bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman, lelaki mahupun perempuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya, “Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan).” (Surah Muhammad, 19)
Walaupun istighfar adalah sunat, namun perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfar merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
Fadhilat beristighfar
Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai dengan fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya, “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.” (Surah Hud, 3)
Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfar dan taubat ialah Allah akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.” (Surah Al-Imran, 135-136)
Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.
Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya:
Dalam sebuah hadis qudsi, Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alahi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Bersabda Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.
Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan yang maksudnya, “Bersabda Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2)Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3)Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
4)Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5)Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
6)Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.
Bilakah waktu untuk beristighfar?
Tiada dihadkan waktu yang khusus untuk beristighfar. Adalah sunat untuk beristighfar pada bila-bila masa sahaja. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menunjukkan bilakah masa-masa yang baik untuk beristighfar. Maka adalah perlu untuk menjaga waktu-waktu istighfar tersebut agar permohonan ampun yang dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan diperkenankan.
Selepas melakukan sesuatu dosa atau kesalahan
Diriwayatkan daripada Saidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Mana-mana sahaja daripada seorang hamba yang melakukan dosa, maka dia pun berwudhu’ kemudian dia bangun dan mengerjakan sembahyang dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah (atas dosa yang dilakukannya), melainkan Allah akan mengampunkannya”.
Kemudian Abu Bakar membaca ayat ini, yang tafsirnya “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Menjadi doa dan zikir sepanjang hari
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
“Dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menjadikan istighfar sebagai amalan harian Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Walaupun Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ma‘shum (bebas dari dosa), namun Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam tetap beristighfar agar dipelihara dari melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa. Hadis ini juga bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang memerintahkan hambaNya untuk sentiasa beristighfar kepadaNya sepanjang hari, tafsirnya, “Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Mu’min:55)
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga menyatakan tentang penghulu istighfar (sayyid al-istighfar) yang boleh dijadikan amalan sepanjang hari, tidak kira pagi atau petang, siang mahupun malam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
“Penghulu istighfar adalah dengan mengucapkan, Maksudnya: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmatMu kepadaku, dan aku me-ngakui dosa-dosaku, maka ampuni aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.”
“Dan siapa yang mengucapkannya (penghulu istighfar) pada siang hari serta menyakininya, lalu mati pada hari tersebut sebelum menjelang waktu petang, maka dia termasuk antara ahli syurga. Dan siapa yang mengucapkannya pada malam hari dan dia menyakininya, lalu mati sebelum menjelang pagi, maka dia termasuk antara ahli syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bersambung minggu depan…