Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jangan lupa terap nilai keBruneian

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan semua pihak sekolah dan para pendidik di negara ini supaya jangan sekali-kali lupa untuk menerapkan nilai-nilai keBruneian dalam kalangan para pelajar.

    “Inilah satu-satunya cara untuk mengekalkan keharmonian dan merealisasikan perpaduan,” tegas Baginda semasa bertitah pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Penubuhan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Baginda dalam titah itu seterusnya mengiktiraf sumbangan dari institut pendidikan swasta di peringkat pendidikan wajib, maka kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, akan terus memberikan sokongan bagi program perkembangan profesional selaras dengan keperluan pelaksanaan Kurikulum Sistem Pendidikan Negara.

    “Ini, adalah bagi memastikan pendidikan yang saksama dan inklusif diberikan kepada semua pihak.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Penubuhan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra dengan murid-murid tadika pada majlis tersebut.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai.

    Baginda bertitah bahawa kita maklum, landskap pendidikan telah melalui pelbagai perubahan dan cabaran khasnya sejak beberapa tahun kebelakangan semasa wabak COVID-19 melanda masyarakat global.

    “Pandemik ini telah menyebabkan pengurangan tempoh pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, sehingga ia mengakibatkan Learning Loss di kalangan pelajar-pelajar, terutama di peringkat rendah dan menengah.

    “Seyogia, Beta berharap pihak institusi pendidikan swasta akan sama-sama mengambil berat isu ini dan bertanggungjawab untuk memastikan Learning Recovery (Pemulihan Pembelajaran) dapat dilaksanakan dengan jayanya.”

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah bahawa kepentingan pendidikan sudah sekian lama menjadi agenda penting negara dengan usaha bersepadu turut sama-sama diharungi oleh masyarakat Tiong Hwa.

    “Beta difahamkan, pendidikan di sekolah ini tidaklah terhad kepada pelajar-pelajar berbangsa Tiong Hwa sahaja, malah ia juga turut menjadi pilihan di kalangan pelbagai kaum dan bangsa di negara ini.

    “Salah satu faktor utama yang menjadi tarikan ialah pencapaian sekolah ini dalam menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang.”

    Baginda menekankan bahawa pencapaian seperti itulah yang mampu untuk melahirkan generasi yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi pada masa-masa mendatang.

    Selepas bertitah, Baginda dan kerabat diraja turut berkenan bergambar ramai, menyaksikan persembahan, melawat sekitar sekolah dan beramah mesra bersama pihak pengurusan dan para pelajar sekolah tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...