Jangan mengeluh, teruskan ikhtiar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa bersangka baik, berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan dugaan, cabaran dan rintangan.

Ini terutamanya apabila mendapat masalah atau berdepan dengan sesuatu yang sukar atau berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

Perkara itu ditekankan oleh khatib hari ini dalam Khutbah Jumaat bertajuk ‘Larangan Berputus Asa’.

Menurut khatib lagi, Agama Islam melarang umatnya daripada berputus asa kerana orang yang berputus asa itu tergolong dalam kalangan orang yang sesat daripada jalan kebenaran.

“Perlu diketahui, antara faktor utama yang menyebabkan orang berputus asa itu, pertama terjerumus dalam perkara-perkara dosa dan maksiat, kedua, ditimpa musibah seperti kegagalan, penyakit kronik atau sakit yang berpanjangan dan tekanan hidup seperti tekanan sosial, emosi dan ekonomi seperti masalah dalam perniagaan, pekerjaan, pelajaran, masalah hutang piutang, masalah rumah tangga dan seumpamanya.”

Sering kali masalah yang sering datang dalam kehidupan itu menyebabkan kita bersikap tidak rasional dan membuat keputusan yang kurang bijak hingga menyebabkan lupa akan keagungan dan kebesaran Allah.

Perlu diingat, tegas khatib, apabila menghadapi masalah, kegagalan atau kesukaran dalam kehidupan sama ada keinginan atau harapan yang tidak tercapai atau tidak kesampaian, jangan mudah menyerah kalah dengan berputus asa.

“Allah telah mengurniakan kita akal fikiran yang cukup sempurna, kita hendaklah berusaha dan berikhtiar memikirkan cara dan pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan sesuatu perkara atau permasalahan itu,” jelasnya.

Khatib dalam khutbahnya seterusnya menekankan, Allah telah memberi amaran dan pendekatan yang sangat jelas dalam Al-Quran mengenai kesan buruk berputus asa dengan rahmat Allah.

Antara kesannya, tergolong dalam kalangan orang yang kufur kepada Allah, tidak mensyukuri nikmat Allah dan tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Allah adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu, jelas khatib dan sebagai orang Islam dianjurkan untuk memanjatkan doa kepada Allah pada setiap masa dan keadaan yang mana ini lebih-lebih lagi apabila mendapat masalah atau kesulitan dalam kehidupan.

“Antara doa ringkas tapi bermanfaat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan semasa berada dalam keadaan yang sukar ertinya, ‘Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti ia akan menjadi mudah’.

Sebagai orang beriman, hendaklah sentiasa memiliki semangat dan keazaman yang kuat untuk menghadapi dan menangani sebarang masalah, cabaran dan rintangan tanpa mudah berputus asa dalam kehidupan.

Khatib seterusnya menambah, sering kali kita mengeluh dengan apa yang telah terjadi dan kadang kala juga kita seakan menyerah kalah dengan apa yang telah diusahakan dan lakukan kerana segala yang telah yang direncanakan, semuanya gagal dan tidak menjadi kenyataan.

“Hentikanlah perbuatan mengeluh, tingkatkan usaha dan ikhtiar bagi menangani sesuatu masalah atau kesulitan dan ingatlah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” tambahnya.

Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia dan tidak sekali-kali menzalimi hambaNya, Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita dan didiklah diri kita untuk bersangka baik pada ketetapan dan ketentuan Allah kerana Allah adalah sebaik-baik perancang.