Jangan mudah percaya video tular

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Orang ramai dinasihatkan tidak mudah mempercayai video-video tular yang secara tidak langsung boleh mengurangkan keyakinan awam tentang pengambilan suntikan vaksin COVID ini.

Jika diteliti secara logik, ratusan juta dos suntikan sudah diberikan kepada masyarakat di seluruh dunia maka jika perkara yang tular itu sahih pastinya pihak-pihak berkepentingan di dunia ini akan terus bertindak untuk memberhentikan serta-merta akan arahan pengambilan suntikan vaksin tersebut.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas sejauh mana kesahihan sebuah video tular tentang penerangan daripada pencipta vaksin itu sendiri yang mengemukakan fakta saintifik tentang vaksin genetik tersebut yang akan memberikan kesan terhadap tubuh kanak-kanak pada sidang media, petang tadi.

Walau bagaimanapun tegas Yang Berhormat Dato, pihak kementerian akan sentiasa memantau isu-isu perkembangan yang berkaitan demi menjaga kemaslahatan awam.