Jangan pandang remeh isu keselamatan

Oleh Sim Y.H. dan Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Keselamatan merupakan satu perkara yang tidak boleh diabaikan, ia mesti dijaga atau dipelihara dan apa-apa jua perkara yang tidak selamat mestilah dielakkan.

Sehubungan itu, isu keselamatan ini perlu ditekankan dan tidak dipandang remeh oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang mempunyai empat buah jabatan penting di bawahnya, iaitu Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Penerbangan Awam (JPA), Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) dan Jabatan Kajicuaca (JKC).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan isu keselamatan yang perlu diambil berat oleh kementerian tersebut ketika mengurniakan titah pada lawatan tidak berjadual ke kementerian itu hari ini.

Baginda bertitah, “Akhir-akhir ini didapati di negara ini sering berlaku kebakaran kereta yang mengancam keselamatan dan menjadikan semua orang risau kerananya. Pada hemat Beta, senario ini tidaklah boleh dipandang ringan oleh pihak berkenan dalam kerajaan, bukan setakat memadam kebakaran tetapi perlu mengkaji dan mengenalpasti mengapa senario ini menular di Brunei.”

Baginda menekankan tentu sahaja ada sebab atau puncanya dan jika punca sudah diketahui, langkah-langkah perlu diambil untuk menyekat atau mengatasi insiden buruk seperti itu daripada terus berlaku.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengadakan lawatan tidak berjadual ke salah satu bahagian di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah semasa lawatan tersebut.

Di sinilah peranan JPD untuk mengawal selia hal ehwal pengangkutan supaya lebih selamat, cekap, mudah dan memuaskan, titah Baginda.

Menyentuh mengenai sistem dalam talian atau online dalam pengurusan, Baginda mempersoalkan sama ada sistem itu mesra pelanggan atau sebaliknya, misalnya pengambilan lesen kenderaan secara tender yang menurut Baginda masih lagi kedengaran aduan mengenai kesulitannya kerana ada pelanggan yang tidak celik IT. Ini kerana mereka lebih mudah dan selesa berurusan secara biasa.

Manakala keputusan daripada sistem itu yang dibuat JPD turut mengambil masa lama untuk maklum balas atau langsung tidak memberikan maklum balas kepada mereka yang tidak berjaya, suatu perkara yang wajar diteliti, tekan Baginda.

Ketika menyentuh isu Majlis Keban-gsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Baginda Sultan bertitah terdapat khabar-khabarnya pada masa ini, kekurangan ahli menyebabkan tugasan mengemas kini peraturan dan mematuhi had laju menjadi tergendala, sesuatu yang juga menurut Baginda bukannya perkara remeh.

Manakala itu, mengenai Pos Kawalan Sementara Labu, Temburong, Baginda bertitah ia sepatutnya beroperasi jam 6 pagi tetapi ada kedengaran pihak JPD hanya memulakan operasi itu pada jam 7:30 pagi dan ada kalanya tidak hadir langsung sedangkan lori dan treler tidak bergerak tanpa pemeriksaan JPD.

“Pihak JPD sering memberi arahan untuk dibenarkan sahaja lori dan treler berjalan asalkan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) sudah dilakukan.

“Ini membawa akibat kenderaan berat dari luar negara boleh saja dengan mudah memasuki negara ini dengan muatan berlebihan dan mengakibatkan kerosakan jalan-jalan raya di negara ini,” titah Baginda.

Baginda menegaskan bahawa perkara itu tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja.

Baginda turut menekankan terdapat unsur-unsur mencurigakan dalam perkhidmatan kenderaan berat, antaranya Bahagian Pemeriksa untuk cukai jalan tidak tegas melakukan pemeriksaan kelayakan terhadap kenderaan-kenderaan sehingga dengan mudah melepaskan kenderaan-kenderaan diubahsuai yang tidak disenarai dalam kad pendaftaran kenderaan (Bluecard).

Selain itu, turut diragui ialah penyalahgunaan kuasa memberikan layanan khas kepada orang-orang asing bagi mendapatkan cukai jalan tanpa melalui saluran yang betul. Cukai-cukai jalan itu dikeluarkan kepada kenderaan-kenderaan warga asing sekali pun keadaan kenderaan dianggap tidak sesuai atau tidak selamat untuk dipandu di jalan raya.

Lebih teruk lagi, kedengaran perkhidmatan membaharui cukai kenderaan palsu bagi kenderaan yang melebihi tujuh tahun tanpa perlu melalui pemeriksaan. Ini memberi gambaran betapa pincangnya pengurusan, tegas Baginda.

Menyentuh mengenai isu-isu berkaitan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pula, Baginda menegaskan daripada kepincangan itu juga berlaku beberapa kejadian dalam bangunan lapangan terbang yang baharu dinaiktarafkan itu, termasuklah banjir dan kebocoran.

“Mengapakah ini berlaku? Tentu saja ia berpunca daripada kurangnya kualiti struktur bangunan termasuk mutu yang rendah, kerja-kerja kontraktor yang dipilih, dalam meningkatkan kualiti sambungan paip semasa projek menaik taraf berjalan.

“Ternyata pihak kontraktor gagal untuk mengenal pasti sebarang kecacatan pada struktur bangunan. Pihak yang mempersetujui pemilihan kontraktor pula, tidak boleh terlepas dari turut bertanggungjawab,” tekan Baginda.

Manakala dalam kelengkapan yang sepatutnya ada pada lapangan terbang itu, misalnya alat pengimbas sinar-x milik JKED yang sepatutnya menunjuk dua warna iaitu hijau untuk barang dibenarkan dan merah untuk barangan tegahan, didapati alat itu tidak ditunjukkan dan hanya diterangkan secara teorinya sahaja dalam lawatan Baginda pada Oktober 2019.

“Ada khabar alat ini sengaja disembunyikan kerana telah lama rosak, ia hanya mampu mengeluarkan warna hijau sahaja tidak kira sama ada barang yang diimbas itu, boleh dibawa masuk ataupun tidak.

“Kalau ini benar, bererti semua barangan boleh sahaja dibawa masuk kerana ketiadaan alat atau alat yang rosak digunakan juga sebagai untuk mengaburi mata sahaja. Beta melihat jika ini betul berlaku, maka ia adalah satu pemesongan,” tegas Baginda.

“Akhir sekali, Beta mengingatkan supaya semua pengurusan dikendalikan dengan kemas dan sempurna dan dengan amat berhati-hati sehingga tidak terjadi suatu yang merugikan terutama yang menyangkut dengan perjanjian-perjanjian melabur bersama-sama orang lain.

“Samalah juga seperti perjanjian memajakkan tanah yang bersaiz besar dan luas kepada syarikat-syarikat tertentu dari luar negara. Mereka itu memajak tanah sehingga 60 tahun tetapi negara cuma akan mendapat perolehan yang terlalu kecil sahaja. Nisbah tempoh pajakan 60 tahun adalah mampu untuk menghasilkan keuntungan amat besar kepada pelabur. Ini baru berupa untung rugi dalam bentuk mata wang, belum lagi faktor keselamatan yang mesti diambil kira bagi jangka masa panjang.

“Ternyata di sini, tugas kita bukanlah semata-mata berkhidmat tetapi khidmat itu hendaklah bermatlamat dan dapat menjamin kebajikan dan perlindungan untuk negara.”

Terdahulu, Baginda menyentuh mengenai dengan budi bicara kepimpinan yang menurut Baginda, jika budi bicara baik, maka baiklah pencapaian dan jika sebaliknya, pencapaian sukar diperolehi.

“Adapun jentera setiap kementerian terdiri daripada para pegawai dan kakitangan, jika mereka ini bagus menepati kriteria jawatan, maka akan baguslah perjalanan kementerian. Jika tidak, maka akan bermasalahlah kementerian itu.

“Contoh jentera kementerian bermasalah, apabila mereka itu dipilih bukan berdasarkan merit tetapi semata-mata berdasarkan pilih kasih atau kronisme, umpamanya. Namun jika yang dipilih itu benar-benar, mempunyai kelayakan, maka itu bukan namanya pilih kasih.”

Baginda menegaskan, “Ini mustahak untuk dibezakan demi kebenaran dan keadilan. Ciri kepincangan atau kelemahan ialah apabila pemimpin tidak menaruh kepercayaan kepada pegawai-pegawai bawahan atau pemimpin bersikap tidak bersedia untuk menerima pandangan lain sekalipun pandangan itu baik. Sikap seperti ini melanggar konsep permesyuaratan,” tekan Baginda.