Jangan pandang ringan arahan kerajaan

Negara kita telah menjalankan perintah Operasi Pulih merangkumi kawalan pergerakan ketat dari pukul 8 malam hingga 4 pagi pada 4 Oktober lalu.

Kelihatan daripada hasil perkong-sian media-media tempatan dan orang ramai di akhbar-akhbar dan media sosial menunjukkan rata-rata beberapa jalan lengang dan gedung-gedung membeli belah ditutup lebih awal.

Namun, semua itu hanya yang nampak di mata sahaja kerana ada sesetengah orang nampaknya masih melanggar arahan kerajaan dan hampir setiap hari terdapat laporan jumlah mereka yang melakukan kesalahan yang ada kalanya agak tinggi seperti hari ini.

Kenapa perlu berbuat demikian? Apa faedah yang boleh didapati ketika melanggar perintah kerajaan? Sedangkan pihak kerajaan sudah mengingatkan bagi sesiapa yang didapati melanggar arahan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan kompaun $100 seorang bagi setiap kesalahan.

Seolah-olah denda yang dikenakan oleh kerajaan diambil ringan bagi orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini.

Adakah perlu pihak kerajaan mengenakan kenaikan denda sebanyak $1,000 baru patuh dengan arahan? Jangan jadikan perintah Operasi Pulih ini sebagai jalan untuk memulakan perniagaan benda-benda terlarang atau tegahan.

Arahan ini tidak lama, cuma dikenakan selama 14 hari, adakah perlu ditambah hingga berbulan lamanya seperti negara-negara lain?

Inilah masanya membuktikan kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini menyahut seruan kerajaan bagi sama-sama mengawal penularan wabak dan memulihkan kehidupan seharian pasca COVID-19 agar kembali kepada normal.

Cukuplah pihak relevan bersusah payah menangani penularan wabak ini dan janganlah kita sebagai rakyat membebankan lagi tugas mereka.

Solidariti masyarakat