Jangan panik jalani perintah Operasi Pulih

Ketika negara mula menjalankan kawalan pergerakan ketat pada Isnin lalu, kelihatan sesetengah rakyat dan penduduk di negara ini sepertinya di dalam keadaan panik.

Berdasarkan pemantauan saya pada sebelah petang Isnin lalu, kelihatan begitu banyak kereta dari minggu-minggu sebelumnya di jalan-jalan raya. Malah ramai pengguna jalan raya sanggup berbaris panjang di stesen-stesen minyak yang dikatakan ditutup lebih awal dari biasanya.

Apa yang mengejutkan lagi, sesetengah kedai dipenuhi pelanggan yang berlumba-lumba membeli bekalan makanan dan barangan lain yang diperlukan. Persoalan saya di sini, kenapa perlu panik? Bukankah hari esok atau lusa kita masih dapat membeli barangan keperluan seperti biasa.

Sepatutnya kita tidak perlu panik menjalani arahan kerajaan, kerana arahan ini dikuatkuasakan hanya pada waktu malam hingga subuh, bukan sepanjang hari.

Ada sesetengah pelanggan berebut membeli bekalan sehingga ada yang berkelahi sesama pelanggan dengan alasan arahan kawalan pergerakan ketat, walhal pada ketika itu baru sahaja pukul 10 pagi sedangkan arahan kerajaan bermula 8 malam hingga 4 pagi, suatu alasan yang tidak logik.

Sepatutnya untuk menyahut seruan perintah kerajaan ini dilakukan secara tenang dan lakukan mana yang patut.

Jangan jadikan arahan kerajaan sebagai alasan membahayakan orang lain.

Solidariti