Jangan panik jika dijangkiti, diarah kuarantin COVID-19

Oleh SIM Y. H.

Dalam usaha membendung penularan COVID-19, antara langkah paling penting adalah mengenal pasti pesakit yang dijangkiti dengan secepat mungkin, agar mereka boleh diasingkan daripada orang sihat dan diberikan rawatan.

Justeru, kaedah utama bagi menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti adalah dengan mengenal pasti melalui ujian swab bagi SARS-CoV-2. Setentunya sesiapa saja yang mendapatkan ujian ini menanti keputusan ujian dengan penuh debaran. Walau bagaimanapun, bagi sesiapa yang diuji positif bagi COVID-19, mereka tidak harus merasa cemas.

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan maklumat bagi pesakit yang telah diuji positif COVID-19, di mana jika mereka menerima keputusan ujian swab yang positif melalui SMS atau kod ungu melalui aplikasi BruHealth, mereka diminta untuk bertenang, terus me ngasingkan diri daripada orang lain dan menunggu panggilan pengesahan dari Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan akan mengaturkan pemindahan mereka ke pusat pengasingan yang ditetapkan. Disebabkan jumlah pesakit yang ramai, kemungkinan mereka perlu menunggu lama dan diminta bersabar semasa menunggu untuk dihantar ke pusat pengasingan.

Tertakluk kepada penilaian status kesihatan mereka oleh pihak Kementerian Kesihatan, mereka mungkin akan dihantar ke kemudahan-kemudahan pengasingan iaitu Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC atau NICE), Tutong, Mahad Islam Brunei, Tutong, Batalion Ketiga Kem Lumut, Pusat Tingkatan Enam Belait, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong dan PKBN, Batu Apoi, Temburong.

Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC atau NICE), Tutong, salah satu kemudahan-kemudahan pengasingan di negara ini, di mana mereka yang diuji positif COVID-19 menjalani pengasingan diri. – Gambar fail
Untuk meningkatkan kapasiti ujian swab di negara ini, sebuah pusat swab pandu lalu pertama Brunei iaitu Pusat Swab Pandu Lalu Bridex telah mula beroperasi pada 23 Ogos lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani
Bagi mengelakkan mereka daripada merasa bosan semasa menjalani pengasingan diri, mereka disyorkan untuk membawa gajet mereka seperti telefon bimbit, iPad, komputer riba, dan sebagainya.

Bagi mereka yang belum dihantar ke pusat pengasingan, mereka harus bertenang kerana ambulan atau pengangkutan mereka mungkin mengambil masa untuk mengambil dan menghantar mereka ke pusat pengasingan. Mereka diseru untuk terus mengasingkan diri daripada ahli rumah mereka.

Menurut kertas maklumat Kementerian Kesihatan itu lagi, secara amnya, kebanyakan kes positif mengidap gejala-gejala ringan atau tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan.

Mereka boleh mengambil langkah-langkah mudah untuk melegakan gejala-gejala berkenaan seperti berehat, memastikan pengambilan air yang mencukupi dan mengambil ubat-ubatan diperlukan jika menghidapi gejala-gejala ringan seperti paracetamol (panadol) untuk demam panas, sakit tekak atau sakit badan, lozenges (ubat dihisap) seperti Strepsil, Dequadin untuk sakit tekak atau batuk ringan serta ubat batuk untuk selesema dan batuk.

Tetapi jika mereka mengalami demam panas yang berterusan, sukar bernafas, sakit dada, muntah atau cirit-birit, mereka perlu menghubungi 991 dengan segera.

Bagi mereka yang akan dimasukkan ke pusat pengasingan, barang-barang keperluan yang boleh dibawa seperti dua helai tuala, pakaian untuk 14 hari termasuk baju sejuk dan stoking, tikar sembahyang, selipar, alat mandian seperti berus gigi, ubat gigi, gel sabun mandi, syampu, ubat kumur, pencuci muka, sikat, dan sebagainya. Di samping itu juga, mereka boleh membawa ubat-ubatan mereka termasuk vitamin, makanan ringan, termos, cawan tisu alkohol serta sabun pencuci pakaian dan cecair pencuci pinggan.

Bagi mengelakkan mereka daripada merasa bosan semasa menjalani pengasingan diri, mereka disyorkan untuk membawa gajet mereka seperti telefon bimbit, iPad, komputer riba, bahan bacaan atau memuat turun rancangan Netflix mereka terlebih dahulu.

Semasa mereka berada di pusat pengasingan, kesihatan mereka akan dipantau setiap hari, ujian darah dan imbas X dada dijalankan jika diperlukan serta rawatan akan diberikan jika perlu. Mereka juga dapat memainkan peranan aktif dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan sendiri semasa berada di pusat pengasingan.

Ketika mereka menjalani pengasingan diri, mereka juga mungkin akan dipindahkan dari satu pusat pengasingan ke pusat pengasingan yang lain bergantung pada penilaian status kesihatan oleh para doktor, misalannya, dari CHAM ke NIC atau dari NIC ke PKBN.

Pada masa ini, hanya pesakit yang memerlukan pemantauan rapi dan rawatan intensif sahaja yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, manakala, pusat-pusat pengasingan yang lain hanyalah untuk mereka yang stabil dan tidak menghidapi sebarang gejala atau hanya menghidapi gejala-gejala ringan serta boleh discaj.

Mereka akan dikeluarkan dari pusat pengasingan selepas ujian swab yang akan dilakukan pada hari kelapan semasa mereka berada di pusat pengasingan. Jika ujian mereka negatif atau mereka tidak mempunyai sebarang gejala, atau semakin pulih, mereka akan dibenarkan untuk pulang ke rumah dan meneruskan kuarantin di kediaman masing-masing selama 14 hari selepas itu. Semasa menjalani kuarantin tersebut, mereka harus mengelak daripada bergaul dengan ahli rumah mereka.

Mereka dibenarkan untuk pulang ke rumah atau ditempatkan di kemudahan kuarantin yang bersesuaian walaupun ujian swab mereka masih positif, kerana pada masa ini, mereka telah disahkan sembuh dan tidak lagi boleh menjangkiti orang lain.

Jika mereka menghidap sebarang gejala di sepanjang tempoh kuarantin itu seperti mengalami sesak nafas, demam panas yang berterusan atau menggigil, batuk yang semakin teruk, sakit dada atau cirit birit, mereka boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau 8123812 atau 8123819.