Berikutan kes jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam meningkat secara mendadak, menimbulkan rasa takut dalam diri setiap rakyat dan penduduk di negara ini.
Tambahan pula varian Omicron yang mudah merebak telah dikesan di negara kita, semakin ramai yang merasa gerun dan sedaya upaya memastikan diri terhindar dari virus.
Berikutan itu, orang ramai yang merasa panik dengan penularan wabak ini mula berlumba-lumba untuk mendapatkan ujian swab di pusat-pusat swab di negara ini demi memastikan bebas dari sebarang jangkitan.
Namun, persoalan di sini perlukah kita merasa terlalu cemas dan takut sehingga sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan ujian swab dan tanpa disedari telah melanggar arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan? Memang tidak dinafikan sesiapa saja akan merasa cemas dan takut tetapi kita perlu mengawal perasaan kita dan janganlah melakukan tindakan secara membabi buta sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Kita sudah diperjelaskan varian Omicron mudah merebak tapi kita sendiri melanggar arahan SOP, seperti melanggar jarak fizikal. Bukankah dengan pelanggaran itu lebih menimbulkan risiko kepada jangkitan.
Berhubung dengan ujian swab pandu lalu, perlukah kita panik yang menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga menghalang perjalanan petugas menuju ke tempat bekerja atau orang awam yang hendak melakukan pemeriksaan kesihatan?
Malah baru-baru ini saya terbaca satu perkongsian di Facebook, menyatakan beliau sudah menempah awal namun terpaksa menunggu selama berjam-jam kerana terlalu ramai yang datang secara jumpa terus (walk-in).
Sehubungan itu, beliau mengharapkan pihak berkenaan membuka tempat khas untuk ujian swab bagi mereka ingin melakukan swab jumpa terus agar tidak menghampakan mereka yang sudah menempah slot lebih awal.
Apa yang penting sebenarnya di sini adalah sikap toleransi kita dalam hidup bermasyarakat untuk sama-sama melindungi diri dari jangkitan virus. COVID-19 ini memang sukar dibendung namun dengan mematuhi pelaksanaan SOP dan bertawakal kepada Allah SWT, Insya Allah hidup kita akan selamat dan lindungi dari sebarang jangkitan.
Sama-sama melindungi