Jangan perbaharui lesen balak

KAPIT, 22 OGOS – Himpunan kayu balak sekali lagi berlaku di Sungai Baleh di sini dan dikhuatiri akan mengakibat kesan yang lebih teruk daripada insiden pada 2010, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Menerusi perkongsian Facebooknya, Masing berkata hal itu tidak mustahil terjadi ekoran aliran air sungai kini dihalang oleh pembangunan empangan Baleh.

“Pengusaha-pengusaha projek hidroelektrik (HEP) mengetahui bahawa aktiviti pembalakan di lembangan HEP akan menyebabkan pengelodakan, justeru memendekkan jangka hayat empangan tersebut,” katanya yang marah dengan kejadian itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh itu percaya aktiviti pembalakan di kawasan hulu Sungai Baleh merupakan punca masalah tersebut.

“Bagi menghentikan himpunan kayu balak ini daripada berlaku sekali lagi, tolong jangan perbaharui lesen pembalakan mereka untuk beroperasi di hulu Batang (Sungai) Baleh,” desak beliau. – Bernama