FAKTA dan mitos diet kadang-kadang membuatkan kita keliru. Pelbagai cara dilakukan seseorang untuk menurunkan berat badan. Ramai orang yang berlumba-lumba untuk mendapatkan berat badan yang ideal atau body goal yang mereka inginkan.
Tetapi mereka seringkali salah dalam melakukan diet seperti pemilihan makanan yang tidak tepat ataupun olahraga yang salah. Dalam memilih cara diet, sering kali muncul pro dan kontra di kalangan masyarakat sekeliling. Perbezaan mengenai pandangan diet seharusnya diberikan pro dan kontranya. Untuk mengatasi terjadinya pro dan kontra ini, kita perlulah mengetahui mitos dan fakta lebih lanjut mengenai diet pemakanan.
Mitos 1: Makanan tinggi karbohidrat adalah menggemukkan!
Fakta: Makanan tinggi karbohidrat dikatakan menggemukkan hasil daripada kejayaan beberapa jenis diet seperti diet Atkin yang mengutamakan makanan yang rendah karbohidrat. Bagaimanapun, tiada bukti yang mengatakan bahawa makanan kaya dengan karbohidrat menggalakkan peningkatan berat badan.
Faktor utama ialah lebihan kalori yang kita makan pada setiap hari yang menyumbang kepada peningkatan tersebut dan ia bukannya disebabkan oleh pemakanan karbohidrat. Selain itu, tambahan lemak yang dimakan bersama karbohidrat seperti roti bersama mentega dan kentang goreng bersama sos keju turut terlibat dalam lebihan kalori dalam makanan seharian kita.


Tip diet: Makanan tinggi serat seperti roti bijian penuh, beras perang dan oat merupakan pilihan terbaik bagi menggantikan makanan yang rendah serat seperti roti putih kerana ia membantu anda berasa kenyang dengan lebih lama. Dengan ini, ia dapat mengurangkan pengambilan makanan dalam jangka masa yang lama.
Mitos 2: Gen gemuk boleh diwarisi
Fakta: Saintis dapat mengenal pasti bahawa seseorang yang mengalami masalah kegemukan mungkin disebabkan masalah genetik tetapi kenyataan ini hanya terbukti kepada sebilangan kecil sahaja. Walaupun gen ini turut memainan peranan dalam menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kegemukan namun para pakar tidak dapat mengenal pasti penyebab sebenar kepada peningkatan pesat masalah obesiti pada zaman sekarang.
Tip diet: Membuat perubahan terhadap gaya hidup seperti selalu bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat, ia merupakan langkah penting dalam menurunkan statistik obesiti di kalangan masyarakat. Perubahan ini lebih baik jika dilakukan bersama ahli keluarga berbanding melakukannya sendirian.
Mitos 3: Berdiet tidak membantu dalam menguruskan badan
Fakta: Pada dasarnya, mengurangkan kalori daripada apa yang badan kita perlukan dapat membantu membakar lemak yang terkumpul di dalam badan seterusnya mengurangkan berat badan. Namun, diet yang ekstrem seperti menyekat pengembilan makanan kegemaran, mengambil sedikit makanan selain mengambil makanan yang sangat rendah kalori hanya menyebabkan anda berasa lapar. Lama kelamaan, anda akan berputus asa untuk meneruskan diet tersebut disebabkan banyak sekatan yang terpaksa dilakukan. Akhirnya, anda akan memberitahu diri sendiri bahawa diet tersebut tidak menjadi.
Tip diet: Diet yang seimbang sangat berguna kerana ia membolehkan anda menikmati pelbagai jenis makanan kegemaran anda asalkan anda tahu had-had yang ditetapkan seperti mengurangkan makanan yang tinggi lemak tepu, lemak trans serta tinggi gula. Di samping itu, anda dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan tidak lebih daripada 0.1-1.0 kilogram seminggu untuk mendapatkan berat secara sihat. Ia dapat dilaksanakan dengan mengurangkan pengambilan kalori sebanyak 500 kalori sehari.


Mitos 4: Teh hijau membantu mengurangkan berat badan
Fakta: Dipercayai bahawa teh hijau mampu meningkatkan kadar metabolisma tubuh. Oleh itu, ia mempercepatkan proses pembakaran lemak dan menggalakkan penurunan berat. Walau bagaimanapun, kesannya adalah begitu kecil dan kebarangkalian untuk menyebabkan penurunan berat tidak dapat dikenal pasti.
Tip diet: Bagi mereka yang suka minum teh hijau ini masih dapat meneruskan pengamalannya tetapi tidak dicampur susu atau gula untuk dijadikan sebagai minuman yang berkhasiat. Jangan bergantung kepada pengamalan teh hijau sahaja untuk menurunkan berat badan.
Mitos 5: Diet Sayuran dapat membantu menurunkan berat badan
Fakta: Diet sayuran terdiri daripada rendah kalori, kurang lemak dan tinggi serat. Namun, jika diet ini tidak dirancang dengan betul, ia mungkin terdiri daripada lemak dan kalori yang tinggi seperti mereka yang memakan daging.
Tip diet: Tidak kisah sekiranya anda merupakan pengamal diet sayuran ataupun tidak, yang penting sekali anda mestilah mengikuti panduan pemakanan yang sihat iaitu mengamalkan makanan yang tinggi serat, rendah kandungan lemak seperti kekacang dan soya serta memastikan makanan yang berlemak dan bergula dalam kuantiti yang minimum.