Jangan permainkan kami sebagai runner

Semenjak penularan wabak COVID-19 ini, kebanyakan restoran-restoran di negara ini diarahkan untuk mengambil pesanan secara bawa balik sahaja dan tidak dibenarkan makan di kedai. Malah, melakukan pesanan melalui dalam talian dan melalui panggilan telefon adalah digalakkan.

Dalam masa yang sama, perkhidmatan penghantaran dari kedai berkenaan atau dari pihak persendirian atau runner kini semakin mendapat sambutan kerana dapat membendung penularan wabak virus. Pendapatan kami sebagai runner melonjak dari hari-hari biasa sebelum penularan wabak ini.

Namun, baru-baru ini saya sendiri mengalami masalah dengan penghantaran makanan ini kepada pelanggan. Di mana, pelanggan-pelanggan saya tidak bersikap jujur kerana membatalkan pesanan secara mendadak. Malah ada yang menyekat nombor saya untuk tidak dapat menghubungi mereka.

Wahai pelanggan-pelanggan kami hormati, walaupun pekerjaan kami sebagai runner menghantar ke sana ke mari tapi jangan kami diperlakukan begini. Kami juga ada modal untuk melakukan pekerjaan ini, kami gunakan wang kami sendiri dahulu untuk membeli barang yang dimahukan. Kenderaan kami juga memerlukan minyak untuk melakukan penghantaran. Fikirkan kami juga yang sanggup memenuhi keperluan yang dimahukan.

Kadangkala bukan hanya itu, kami terlewat sikit dimaki hamun, sedangkan pelanggan tidak mengetahui apa yang kami alami. Saya tidak akan menyuarakan hal ini jikalau hanya satu kes yang terjadi dan saya tidak mahu runner lain turut terkena benda yang sama. Kami hanya mahu kejujuran pelanggan untuk tidak mempermainkan kami. – Runner Unite

Semenjak penularan wabak COVID-19, perkhidmatan penghantaran dari kedai berkenaan atau dari pihak persendirian atau runner kini semakin mendapat sambutan. – Gambar hiasan