Jangan remeh makhluk lemah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah agar jangan sesekali meremehkan makhluk yang dilihat kecil dan lemah kerana di sisi Allah SWT ia boleh dikerah menjadi tentera gagah bagi mengajar makhluk yang kuat.

Contohnya makhluk yang kecil dan lemah seperti bakteria atau lebih kecil daripada bakteria iaitu virus mampu untuk mencetuskan penyakit-penyakit berjangkit di mana lebih 4 juta jiwa telah terkorban akibat virus di seluruh dunia.

Baginda semasa bertitah sempena Sambutan Tahun Baharu Hijrah 1443 hari ini mengajak umat Islam mengambil pengajaran daripadanya melalui sejarah Hijrah Nabi Sayyidina Muhammad SAW yang mendapat perlindungan daripada mahkuk lemah labah-labah, burung merpati dan pohon kayu sebagai bala tentera dikerahkan oleh Allah SWT sebagai pertolongan luar biasaNya.

Baginda menambah lagi bahawa melalui peristiwa hijrah banyak iktibar dan pengajaran yang dapat dikenal pasti dan ia berlaku dengan perintah Allah SWT untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

Pertolongan Allah yang luar biasa dihantar kepada Nabi Muhammad SAW melalui mahkluk lemah dan kecil, bukannya makhluk gagah seperti singa atau gajah untuk menghapuskan musuh tetapi hanya menghantar labah-labah dan burung merpati.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena menyambut Awal Tahun Baharu Hijrah 1443. – Gambar oleh Infofoto

Selain itu, Baginda turut menekankan bahawa umat Islam juga boleh belajar daripada sejarah Namrud yang melontarkan Nabi Ibrahim AS ke dalam api namun akhirnya mati akibat seekor nyamuk yang diutuskan oleh Allah SWT sebagai tenteraNya.

Itu adalah antara pengajaran dan iktibar yang dapat diambil daripada sejarah hijrah iaitu jika Allah SWT menghendaki, makhluk yang lemah boleh memusnahkan makhluk yang kuat. Apabila pengajaran tersebut benar-benar dihayati, titah Baginda, akan melahirkan keinsafan bahawa tiada satu kuasa pun yang dapat mengatasi kuasa Allah SWT.

Sementara itu, dalam kehidupan menyedari dan mengakui kekuasaan Allah SWT adalah sangat dituntut kerana dengan cara ini, titah Baginda lagi, sifat kehambaan akan bertambah subur dan menjadikan akan terpanggil untuk merendah diri kepada Allah SWT.

Ini bukan seperti umat terdahulu yang kebanyakannya menyombongkan diri, tidak mahu mengakui kuasa Allah SWT sehingga mereka dimusnahkan satu demi satu.

Kesan baik orang yang merendah diri di hadapan Allah SWT akan menjadikan orang itu seorang yang soleh, yang sentiasa tunduk mentaati perintah dan suruhanNya.

Baginda menegaskan itulah yang diharapkan bagi umat negara ini dan jika berlaku, Insya Allah negara selamat dan makmur sebagaimana janji Allah SWT di dalam Surah Al-Araf bermaksud, sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, tentu saja kami bukakan untuk mereka pintu-pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya turun dari langit dan keluar dari bumi.