Jangan salah guna khidmat vaksinasi bergerak

Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Bermula esok (11 Oktober) pihak Kementerian Kesihatan akan memberikan kemudahan untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk keluar dari rumah disebabkan oleh masalah kesihatan atau mereka yang kurang upaya dengan pihak vaksinasi bergerak akan berkunjung ke rumah-rumah bagi memberikan suntikan.

Namun begitu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan kemudahan berkenaan kerana ia hanya bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga akan menjalankan perkhidmatan vaksinasi COVID-19 di Mukim Labi di Klinik Kesihatan Labi bermula 11 Oktober hingga 13 Oktober untuk memberikan kemudahan kepada mereka yang mempunyai kesukaran mendapatkan vaksin di mukim berkenaan, supaya dapat berkunjung ke klinik kesihatan berkenaan bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka.

Penduduk di Mukim Labi, Mukim Bukit Sawat dan persekitarannya, yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 boleh datang terus secara walk-in ataupun menempah slot melalui laman web https://calendly.com/phc-belait/labi-vaksinasi.

Di samping itu, bagi mereka yang tidak dapat pergi ke klinik kesihatan disebabkan oleh masalah tertentu seperti mereka yang kurang upaya, mereka boleh memaklumkan kepada ketua kampung supaya dapat menghubungi Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan petugas kesihatan untuk melakukan suntikan di rumah mereka.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat perancangan bagi perkhidmatan yang serupa untuk dilaksanakan di mukim-mukim yang lain. Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menerangkan bermula 11 Oktober, Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah akan dibukakan secara walk-in pada setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang bagi pemberian dos pertama sahaja, dan dibukakan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang memegang kad pintar berwarna kuning dan ungu.