Jangan salah guna ubat ‘Dexamethasone’ rawat COVID-19

PUTRAJAYA, 17 JUN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalah guna atau mengambil ubat ‘Dexamethasone’ (gambar bawah) tanpa preskipsi daripada doktor untuk merawat wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan, dan ia perlu diimbangi dengan keperluan penggunaannya bagi penyakit-penyakit tertentu.

“Salah satu kesan sampingannya adalah sindrom ‘cushing’, penipisan kulit, dan beberapa siri kesan sampingan seperti kehilangan keupayaan tulang serta kelemahan otot, bergantung kepada tempoh berapa lama pengambilannya,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit, termasuk kepada pesakit kanser, dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal ubat Dexamethasone dalam merawat COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Recovery Trial’ di University of Oxford itu.

“Hasil dapatan awal ‘Recovery Trial’ menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian pesakit COVID-19 mempunyai gejala pernafasan serius, namun, tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau yang tidak memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Bernama