Jangan sampai syirik – Mufti Kelantan

KOTA BHARU, 29 Jan – Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan masyarakat negeri ini agar tidak terlalu taksub dengan kejadian aneh seperti pokok boleh merembas air kerana dibimbangi boleh terjerumus kepada syirik. Mohamad Shukri berkata apabila terlalu taksub sehingga percaya kejadian aneh mampu mendatangkan kebaikan atau menolak keburukan boleh dianggap syirik kecil atau syirik tersembunyi.

Katanya, mempercayai perkara yang aneh juga boleh merosakan akidah umat Islam.

“Jangan sedikitpun meletakan kepercayaan atau iktikad air yang keluar dari tempat tidak sepatutnya boleh memberi kesan atau menghasilkan musabab kerana semuanya bergantung kepada kuasa Allah,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian sebatang pokok petai ‘menangis’ di Kampung Petani, Saring sejak seminggu lepas. – Bernama