Jangan takut ambil vaksin

Oleh Ak Zaki Kasharan & Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Generasi muda diseru tampil mendapatkan vaksin COVID-19 dalam usaha mempercepatkan kempen vaksinasi negara dan membina imuniti kelompok.

“Jika orang tua seperti kami boleh datang ke Stadium Tertutup Berakas mendapatkan vaksin, kenapa tidak generasi lebih muda? Kita perlu bertindak cepat agar boleh menghindari jangkitan COVID-19 dan tidak menyesal di kemudian hari kerana tidak mendapatkan vaksin,” kata seorang warga emas, Haji Yakob bin Haji Hitam dari Perpindahan Lambak Kanan ketika ditemu bual di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.

Beliau merupakan antara 40 warga emas dari Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE) yang menerima vaksin.

Menurutnya, dia tidak merasa sakit menerima suntikan itu dan tampil mendapatkan vaksin bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan.

“Jika Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dapat mengambil vaksin, kenapa tidak kita?” tambahnya.

ATAS & BAWAH: Haji Yakob memegang pelekat menunjukkan beliau sudah divaksin manakala seorang lagi ahli PKWE, menerima suntikan daripada petugas kesihatan pada program vaksinasi di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Hajah Maimunah selepas berjaya menerima vaksin kelmarin.

Menurutnya lagi, kita perlu bersemangat dan tidak perlu takut. Vaksin adalah percuma dan ia diberikan bukan sahaja kepada rakyat dan penduduk negara ini, malahan di seluruh dunia.

Manakala seorang lagi ahli PKWE, Haji Bangok bin Kula, 72 menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas pemedulian dan keprihatinan dalam memastikan kesejah-teraan penduduk termasuk warga emas melalui pemberian vaksin COVID-19 percuma itu.

Perasaan gementar dan takut bercampur baur ketika datang untuk suntikan itu, namun setelah proses suntikan lancar, beliau merasa lega dan tidak mengalami sebarang kesakitan, tambahnya.

Dalam pada itu, warga emas wanita, Hajah Maimunah binti Yusop, 64, menyatakan beliau pada mulanya takut untuk tampil ke pusat tersebut sehingga sukar tidur malam memikirkannya. Walau bagaimanapun, kedatangan bersama rakan-rakan ahli PKWE menghilangkan perasaan gementarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar warga emas lainnya tidak merasa takut untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana ia memberi banyak manfaat dan mampu melindungi diri mereka daripada impak dan kesan bahaya COVID-19.

Beliau juga menyarankan mereka yang berasa takut, membawa bersama rakan atau keluarga boleh mengurangkan rasa gementar.

Fasa kedua program vaksinasi negara mengalu-alukan dan memberikan keutamaan kepada warga emas, warga pendidik dan juga golongan berisiko untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Mereka bagaimanapun dinasihatkan untuk menempah slot suntikan melalui aplikasi BruHealth bagi mengelak menunggu lama. Walau bagaimanapun, slot untuk walk-in masih disediakan dalam jumlah terhad kepada penerima vaksin fasa kedua.

Mereka yang hadir mendapatkan suntikan vaksin juga perlu mengikut jadual atau temu janji yang telah diberikan, memakai penutup mulut dan hidung serta mengamalkan penjarakan fizikal semasa beratur dan mengikuti arahan-arahan diberikan oleh pegawai dan kakitangan bertugas di pusat-pusat tersebut.