Jangan terlalu leka dengan pencapaian

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada semua pihak termasuk orang ramai yang telah menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 di negara ini semata-mata bagi melindungi rakyat dan penduduk negara ini daripada kesan COVID-19.

“Dengan kerjasama dan usaha gigih setiap pihak, kita telah bersama-sama melangkah ke Fasa Peralihan pada hari ini,” ucap Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media, hari ini.

Akan tetapi, beliau menekankan supaya tidak leka atau terlalu ghairah dengan pencapaian ini.

“Tanggungjawab kita semua masih berat. Kita mesti terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan COVID-19 sepertimana semasa kita berada di Fasa Persiapan dan Fasa Pembendungan dahulu,” tegas beliau. Beliau seterusnya menekankan mengenai langkah-langkah tersebut iaitu sentiasa memakai pelitup muka terutamanya apabila masuk ke premis-premis atau jika berada di tempat awam yang penuh sesak.

“Amalkan penjarakan fizikal setiap masa dan jaga kebersihan diri dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pensanitasi,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato kemudian menjelaskan para majikan yang ingin mengetahui status COVID-19 para pekerja tidak perlu mengarahkan pekerja untuk menjalani ujian swab RT-PCR SARS-CoV-2 sebelum mereka kembali bertugas esok.

“Para majikan ataupun pengurus syarikat boleh mendapatkan kit ujian pantas antigen (ART) yang boleh didapati di pasaran tempatan untuk digunakan di premis masing-masing,” jelasnya.

Beliau juga memohon orang ramai untuk meneruskan sokongan dan kerjasama yang diberikan supaya kita akan mencapai sasaran seterusnya iaitu 80 peratus kadar penduduk yang melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Dalam pada itu, Fasa Peralihan ini, katanya lagi, hanya membolehkan orang-orang yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 untuk memasuki mana-mana premis.

“Walau bagaimanapun, sesiapa yang tidak mempunyai maklumat tersebut dalam aplikasi BruHealth, mereka bolehlah menunjukkan buku vaksinasi sebagai bukti.

“Ini termasuk buku atau sijil vaksinasi dari luar negara bagi mereka yang telah melengkapkan vaksinasi di luar negara,” jelas beliau.