Jangan terlalu memilih

Saya merupakan salah seorang penduduk yang tinggal di Kampong Ayer dan sudah pasti salah satu pengangkutan utama bagi penduduk seperti saya adalah dengan menggunakan perahu tambang untuk pergi ke kawasan ‘darat’ setiap hari.

Saya amat bersyukur sekali apabila melihat bilangan perahu tambang semakin bertambah setiap hari malah ada kalanya penambang terdiri daripada belia muda yang sudah pandai untuk berdikari sendiri. Namun apa yang membuatkan saya agak sedikit terkilan adalah apabila ada sesetengah penambang terlalu ‘memilih’.

Maksud saya ‘memilih’ di sini adalah mereka tidak mahu mengambil penumpang yang berdiri seorang diri di jeti. Malah ada sesetengah perahu tambang hanya berlalu pergi tanpa mengambil penumpang tersebut yang ada kalanya bergegas untuk pergi ke sesuatu tempat. Oleh itu, saya ingin sarankan kepada penambang yang budiman di luar sana untuk tidak memilih sama ada seorang atau berkumpulan untuk memberikan perkhidmatan anda.Budak Kampong Ayer