Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mendapati penularan skim-skim penipuan atas talian (online) serta pelaburan mata wang digital.
Modus operandi skim penipuan berkenaan diperolehi melalui pengiklanan di platform media sosial seperti laman-laman sesawang, e-mel serta teks pesanan ringkas yang telah mempengaruhi mangsa dengan tawaran perjanjian pulangan kewangan yang lumayan jika membuat pelaburan.
Di samping itu, skim berkenaan seterusnya akan cuba untuk mempengaruhi mangsa dengan mendapatkan sebarang maklumat mengenai peribadi mangsa kemudian menyalahgunakannya bertujuan untuk mendapatkan wang.
Sehubungan itu, PDB menegaskan dan menasihatkan orang ramai di negara ini agar tidak memberikan sebarang tindak balas mahupun respons jika menerima tawaran-tawaran sedemikian serta sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada skim penipuan dan pelaburan atas talian ini.