Jangan terpengaruh dengan dakyah pembangkang

KOTA KINABALU, 4 Jan – Majlis Permuafakatan Suluk Sabah meminta komuniti berketurunan Suluk di negeri itu tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba memainkan isu perkauman demi meraih sokongan politik.

Setiausahanya Mohd Zaki Harry Susanto berkata mereka harus berfikir secara bijaksana dan tidak terburu-buru dalam mengambil pendirian politik agar tidak dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak yang mempunyai agenda peribadi.

“Keputusan untuk memberikan sokongan kepada pembangkang adalah suatu yang amat merugikan kerana mereka tidak pernah sekalipun membantu masyarakat Suluk sebelum ini dalam apa juga perkara.

“Kenapa mereka (pihak pembangkang) tiba-tiba bertindak menjadi adiwira kepada masyarakat Suluk di Sabah dengan menjanjikan pelbagai perkara yang di luar kemampuan mereka? Semua itu adalah janji kosong dan tidak mungkin terlaksana,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. – Bernama