‘Jangan tinggalkan kami!’

KABUL, 30 APRIL – Puluhan warga Afghan yang bekerja sebagai jurubahasa dengan tentera Amerika Syarikat (AS) meluahkan kebimbangan hari ini bahawa mereka bakal menjadi sasaran Taliban selepas tentera AS berundur dari negara itu, dan mereka menggesa Washington supaya jangan meninggalkan mereka di negara itu.

Jurubahasa berkumpul selepas solat asar di Kabul sehari sebelum pengunduran tentera Washington secara formal.

“Perkara utama yang kami mahu adalah kami harus dibawa ke AS. Itulah yang telah dijanjikan kepada kami,” kata

Mohammad Shoaib Walizada, jurubahasa Afghan yang bekerja dengan tentera AS dalam operasi pertempuran di antara 2009 dan 2013.

Walizada, 31, berkata dia ditembak di kaki apabila dia bersama tentera AS di Ghazni pada 2011.

Presiden AS, Joe Biden mengumumkan pada awal bulan ini bahawa semua tentera AS yang tinggal akan meninggalkan Afghanistan pada ulang tahun ke-20 serangan pada 11 September 2011, justeru menamatkan perang paling lama Amerika.

Menggelar diri mereka ‘wira perang yang dilupakan,’ sesetengah jurubahasa mengadu kebanyakan kontrak mereka dengan tentera AS dan NATO telah dibatalkan serta-merta.

Ribuan jurubahasa Afghan telah meninggalkan negara selepas menerima visa dari AS dan negara NATO lain.

Namun permit telah dikurangkan dalam beberapa tahun ini, dengan beberapa pegawai AS berkata pejuang jihad yang menyamar sebagai jurubahasa mungkin terlepas dengan menggunakan cara tersebut. – AFP

Bekas jurubahasa Afghan untuk tentera AS dan NATO berkumpul semasa tunjuk perasaan di pusat Bandar Kabul kelmarin, sehari sebelum pengunduran tentera Washington. – AFP